Anda di sini

31 warga Curtin Sarawak botak kepala sokong kempen ‘Go Bald’

Advertisement

CERIA: Jocelyn (barisan hadapan tiga kiri) bersama sebahagian daripada kakitangan dan penuntut Curtin Sarawak yang membotakkan kepala mereka semasa The Go-bald 7.0 Satellite Shave, semalam.

MIRI: Seramai 31 orang terdiri daripada kakitangan dan penuntut Universiti Curtin Malaysia Sarawak (Curtin Sarawak) membotak kepala masing-masing sebagai sokongan terhadap kempen ‘Go Bald’ anjuran Kesatuan Kanser Kanak-kanak Sarawak (SCCS) di kampus tersebut, di sini semalam.

Pro Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Profesor Jim Mienczakowski berkata, ini merupakan tahun ketiga Curtin Sarawak menyertai Go-bald 7.0 Satellite Shave dan beliau gembira kerana ia mendapat sokongan warga Curtin.

“Pembabitan kita dalam kempen seumpama ini menunjukkan komitmen Curtin meningkatkan kesedaran terhadap kanser kanak-kanak dalam kalangan warga kampus dan masyarakat tempatan Miri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmi Kempen ‘Go-bald 7.0 Satellite Shave’ di Curtin Sarawak, semalam.

Mienczakowski menambah, Curtin sentiasa menyokong usaha SCCS mengumpul dana bagi membantu keluarga pesakit kurang mampu untuk membiayai kos hidup sepanjang mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Setiausaha dan Pegawai Liaison SCCS (Zon Utara) Jocelyn Hee berkata, pihaknya menyasar kutipan sebanyak RM1.5 juta dengan 2,300 peserta membotakkan kepala masing-masing di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

“Di Miri kempen ini akan diadakan pada 17 Mei di Bintang Megamall. Justeru, kita mempelawa orang awam datang memberi sokongan. Kad kutipan derma boleh diperolehi di Hotel Somerset,” katanya.

Katanya, sebahagian daripada wang dikumpul akan diguna membiayai pembinaan rumah perrsinggahan berhampiran Hospital Miri yang dijangka mula beroperasi September tahun ini.

Beliau menambah, rumah tersebut menyediakan penginapan sementara untuk pesakit di luar Miri yang datang ke sini bagi mendapatkan rawatan susulan.

 

Advertisement