Anda di sini

Saya sama sekali tidak berasa keseorangan: PM

Advertisement

Kestabilan Malaysia tersebar luas di bawah pentadbirannya

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak berasa keseorangan, tambahan pula begitu banyak badan antarabangsa, individu dan institusi yang mengesahkan keyakinan mereka terhadap kejayaan Malaysia.

Kesemua badan ini juga menyanjung Malaysia dengan memberi penarafan yang sangat tinggi.

“Saya sama sekali tidak berasa keseorangan. Hakikatnya, saya berasa dikelilingi teman yang menyenangkan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Invest Malaysia 2015 di sini semalam.

“Sejak akhir-akhir ini kedengaran perbualan di Malaysia tentang betapa seseorang itu berasa keseorangan untuk menyatakan kebenaran. Jadi, saya boleh beritahu anda bahawa saya tidak berasa keseorangan berdiri di hadapan anda semua hari ini,” kata Najib, yang menerima tepukan sambil berdiri, oleh para perwakilan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir pada majlis itu.

Perdana menteri berkata berdasarkan kestabilan dan pertumbuhan Malaysia yang diketahui umum di bawah kerajaan sekarang, beliau yakin akan dapat mengharapkan kebersamaan ini diteruskan, bagi tahun depan dan tahun-tahun mendatang.

Terdahulu, Najib berkata asas ekonomi Malaysia adalah kukuh dan berada di landasan untuk memenuhi matlamatnya untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Bloomberg, kata beliau, memberi penarafan kepada Malaysia sebagai pasaran memuncul kelima dunia dengan masa depan paling cerah pada 2015 dan satu-satunya negara ASEAN yang berada dalam kelompok 10 teratas.

Sementara itu Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia pula baru-baru ini mengeluarkan laporan yang menunjukkan Malaysia menghampiri ranking teratas bagi daya saing dan mudah menjalankan perniagaan.

“Kita diletak sebaris dengan pasaran maju di Asia, seperti Jepun, Hong Kong dan Singapura, oleh Persatuan Tadbir Urus Korporat Asia,” kata perdana menteri.

Najib berkata menurut Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia, Malaysia berada di tempat pertama bagi hak perundangan Pasaran Kewangan, keempat bagi Pembangunan Pasaran Kewangan, dan kelapan bagi kemudahan pembiayaan menerusi pasaran ekuiti. — Bernama

Advertisement