Anda di sini

Persiapan Sarawak diperhalusi

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

Beberapa jawatankuasa khas ditubuh untuk pastikan misi SUKMA terbaik dicapai: Lee

KUCHING: Sarawak telah menubuhkan beberapa jawatankuasa khas sebagai persiapan menghadapi SUKMA XVIII yang akan berlangsung di sini dari 22 hingga 31 Julai 2016.

Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin berkata jawatankuasa induk akan diketuai Menteri Pembangunan Sosial, Tan Sri William Mawan Ikom dan beliau selaku timbalan.

Manakala Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani pula dilantik mengetuai jawatankuasa kerja yang akan mengendalikan 24 jawatankuasa kecil di bawahnya, ujar Lee lagi.

“Kita juga telah menubuhkan sekreteriat yang diketuai bekas Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) Affandi Keli sebagai ketua penyelaras SUKMA XVIII,” ujarnya pada sidang media di Kelab Golf Sarawak (KGS) semalam.

“Selain itu, kita sedang memberi latihan kepada mereka yang berkelayakan untuk menjadi pegawai teknikal seperti panel, hakim atau pengadil yang diiktiraf agar mereka boleh mengendalikan acara sukan yang dipertandingkan nanti.”

Lee menambah, pihaknya juga sedang mendapatkan seramai 1,430 sukarelawan bagi membantu melancarkan pengelolaan SUKMA XVIII.

“Kita perlu memastikan persiapan ini berjalan dengan lancar kerana mahu penganjuran SUKMA XVIII antara yang terbaik pernah dianjur,” katanya.

Sehubungan itu, Lee menjelaskan pihaknya akan melancarkan jerayawara di seluruh negeri bertujuan mempromosi SUKMA XVIII.

Sejumlah 24 acara sukan akan dipertandingkan pada edisi kali ini melibatkan akuatik (renang/terjun), memanah, menembak, olahraga, pencak silat, taekwondo, wushu, badminton, berbasikal, angkat berat, bola sepak, boling padang, hoki (lelaki/wanita), karatedo, sepak takraw, tenpin boling, perahu layar, skuasy, gimnastik artistik, tenis, golf, petanque, bola tampar dewan/ pantai dan tinju.

Acara badminton dan bola tampar dewan/pantai akan diadakan di Sibu, karatedo dan perahu layar di Miri manakala selebihnya di beberapa venue di sekitar Kuching.

“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya 70 pingat emas dan jika ia berjaya dicapai, Sarawak akan bergelar juara keseluruhan.

“Kontinjen negeri akan membariskan seramai 512 atlet dan 64 pegawai termasuk jurulatih bagi mencapai misi tersebut,” ujar Lee sambil menambah latihan secara intensif telah dimulakan mengikut fasa hingga tahun depan.

Untuk SUKMA 2016, sejumlah 382 pingat emas dipertaruhkan sebagai rebutan hampir 8,000 atlet dari seluruh negeri termasuk Brunei Darussalam.

Hadir sama Setiausaha Tetap KPS Kameri Affandi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Negeri Sarawak Dr Ong Kong Swee dan Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Lucas Kalang Laeng.

Advertisement