Anda di sini

Permulaan gaji baharu semua penjawat awam

Advertisement

Keputusan kerajaan umum gaji baharu bagi kakitangan awam Gred 11 disambut baik, kata Ahmad

Oleh Patricia Gari //

KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Negeri Sarawak menganggap keputusan kerajaan mengumum gaji baharu bagi kakitangan awam Gred 11 sebagai langkah permulaan untuk semua penjawat awam di negara ini menikmati kadar gaji baharu.

Pengerusinya Ahmad Malie berkata sejak Saraan Baharu Perkhidmatan Awam (SBPA) dimansuhkan, semakan semua gaji semua penjawat awam belum dibuat.

“CUEPACS Negeri Sarawak menyambut baik dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas kesudian mengumumkan kadar gaji pokok baharu kepada kakitangan awam Gred 11 pada hujung tahun ini.

“Pada masa sama kami berharap kerajaan juga melihat kadar gaji semua gred bukan sekadar Gred 11.

“Ini kerana sejak SPBA dibatalkan sebelum ini, semua penjawat awam dan gred sedang menunggu semakan gaji baharu,” katanya.

Oleh itu ujar beliau, pengumuman berkenaan adalah langkah permulaan untuk kakitangan awam mendapatkan kadar gaji baharu.

Mengulas lanjut mengenai keputusan kerajaan itu, Ahmad berkata ia membuktikan kerajaan prihatin dengan kebajikan dan pendapatan penjawat awam.

Beliau percaya pengumuman itu sekurang-kurangnya akan menggembirakan 3,072 penjawat awam Gred 11 di samping dapat meringankan sedikit sebanyak beban hidup mereka.

Bernama baru-baru ini melaporkan bahawa Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, 3,072 kakitangan awam Gred 11 menerima gaji antara RM823 hingga RM850 pada hujung tahun ini.

Katanya kumpulan gred terendah dalam perkhidmatan awam itu terdiri daripada  mereka yang memasuki sektor awam melalui Penilaian Menengah Rendah (PMR) antaranya, pembantu am rendah, pembantu operasi dan pemandu.

Beliau berkata ia merupakan semakan keempat bagi Gred 11 setelah tiga kali semakan iaitu pada 2002 dengan gaji minimum RM480, 2007 (RM649) dan 2013 (RM832).

Advertisement