Anda di sini

Perkasa budaya membaca, elak maklumat tidak sahih

Advertisement

Hidupkan budaya membaca bagi perkasa ilmu, maklumat sebelum disebar, dikongsi di media sosial, kata Ahmad Lai

Oleh Steve Annuar //

MIRI: Budaya suka membaca harus terus dihidupkan dalam kalangan masyarakat moden sekarang bagi memperkasa ilmu serta maklumat sebelum disebar atau dikongsi di media sosial.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang menjelaskan, pengetahuan luas hasil bacaan bahan ilmiah akan membolehkan rakyat menilai sendiri kesahihan maklumat didedah kepada mereka.

“Banyak maklumat mudah diperolehi daripada pelbagai saluran khasnya daripada media sosial. Apabila banyak membaca, kita dapat tapis sendiri maklumat ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit’ di Auditorium Pustaka Miri yang dianjurkan sempena Hari Buku dan Hari Hak Cipta Sedunia.

Ahmad Lai berharap program itu dapat diterus dan diperluas dalam usaha meningkatkan minat suka membaca di kalangan masyarakat.

“Kita boleh memilih untuk membaca surat khabar atau majalah, novel, menelaah buku rujukan pelajaran atau mungkin kita manfaatkan masa membaca al-Quran atau kitab agama masing-masing,” jelasnya.

Mengulas tentang hak cipta, rakyat diminta untuk menghormati hak cipta bahan bacaan termasuk berbentuk digital.

Beliau memberitahu, ia tidak boleh dibuat salinan atau cetak rompak sesuka hati kerana buku adalah karya yang merupakan harta intelek karyawan atau penulis.

Terdahulu, Pengurus Wilayah Pustaka Miri Salina Zawawi berkata, program dijalankan serentak di seluruh negara untuk memartabatkan amalan budaya membaca.

Beliau memberitahu, dari tahun 2002 hingga 2014, Pustaka Miri menganjur 2,634 aktiviti yang menggalakkan tabiat membaca, perkongsian ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat.

Program semalam turut mendapat kerjasama daripada wakil rakyat, jabatan, agensi kerajaan, swasta, sekolah dan masyarakat.

Sasaran program adalah untuk mendapatkan penyertaan sejuta orang membaca serentak di seluruh negara bermula jam 10 hingga 10.10 pagi.

“Kami menyasarkan penyertaan seberapa ramai masyarakat. Jumlah penyertaan hanyalah objektif kuantitatif.

“Apa yang lebih penting adalah matlamat kualitatif bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat Sarawak, ‘ jelasnya.

Antara aktiviti yang bakal diadakan ialah Mari Bercerita pada hari ini (24 April), Latihan Pangkalan Data Secara Talian (24 April) Kemahiran Literasi Maklumat Bersama Curtin University (25 April) dan Piknik Membaca (25 dan 26 April).

Turut diadakan sebelum ini ialah Bengkel Menulis Bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak, Membaca Bahan Bacaan Kegemaran Saya dan Malam Penghargaan Tower of Books Challenge.

Advertisement