Anda di sini

Papan tanda jalan raya bakal diselaras berperingkat: Fadillah

Advertisement

KUANTAN: Semua papan tanda dan tanda arah jalan raya di seluruh negara akan ditambah baik secara berperingkat bagi memudahkan pengguna jalan raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek penambahbaikan itu akan bermula di jalan bandar di setiap ibu negeri terlebih dahulu sebelum ia diperluaskan kepada jalan negeri dan lebuh raya.

“Kami akan memulakannya di bandar-bandar utama di setiap negeri terlebih dahulu kerana kebiasaannya kawasan seperti ini menjadi tumpuan orang ramai dan papan tandanya sering mengelirukan akibat dihalang oleh pokok, landskap, papan tanda iklan dan lain-lain papan tanda.

“Projek penambahbaikan papan tanda akan menggunakan kaedah ‘adopt and adapt’ dan menggabungkan Arahan Teknik Jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan ‘UK Traffic Signs Manual’ yang dijalankan di Eropah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Projek Transformasi Papan Tanda dan Tanda Arah Jalan serta kerja Pengundian Penyelenggaraan Jalan di sini, semalam.

Fadillah berkata kos reka bentuk dan memasang papan tanda bagi projek itu adalah lebih murah kerana reka bentuk papan tanda mengoptimumkan penggunaan ruang dan seterusnya menghasilkan papan tanda yang bersaiz lebih kecil.

Katanya hasil positif telah terbukti apabila pihaknya telah menjalankan projek perintis transformasi papan tanda jalan raya di Bandar Kuantan sejak tahun lepas yang berjaya disiapkan dalam tempoh enam bulan dengan RM8 juta dibelanjakan melibatkan Jalan Sungai Lembing-Kuantan sejauh sembilan kilometer.

“Kami memilih Kuantan sebagai destinasi untuk menjalankan projek perintis sejak tahun lepas kerana kawasan ini berdekatan dengan banyak lokasi pelancongan tepi pantai yang sering menjadi tumpuan pelancong.

“Projek ini sekali gus telah mengurangkan kekeliruan hampir 90 peratus pengguna jalan raya di Kuantan semasa mencari destinasi menerusi maklum balas positif yang diberikan oleh mereka kepada pihak kementerian,” katanya.

Katanya pihaknya akan menyiapkan projek perintis di Kuantan yang kini siap 20 peratus sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Fadillah berkata kerja undi penyenggaraan Jalan Persekutuan pada tahun ini berjumlah 613 projek dengan kos RM28 juta akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara semalam.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak 441 projek dengan kos RM20 juta di Semenanjung, 172 projek di Sarawak dan di Sabah dengan kos yang bernilai RM8 juta.

“Tujuan utama pengundian ini adalah untuk membuka peluang kepada kontraktor kecil untuk sama-sama terlibat dalam kerja penyenggaraan jalan persekutuan. Ia meliputi kerja-kerja mengecat garisan jalan, membaiki penghadang jalan, membaik pulih longkang dan papan tanda jalan.

“Bagi mempercepatkan proses pemilihan kontraktor, pihak kami memutuskan agar pengagihan kerja dibuat secara undi,” katanya.

Katanya sebanyak RM610 juta diperuntukkan bagi menyenggara jalan persekutuan di seluruh negara untuk tahun ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM409 juta bagi kerja rutin manakala baki sebanyak RM201 juta untuk kerja berkala seperti turapan jalan, mengecat garisan jalan, membaiki penghadang jalan, penyenggaraan elektrik, jambatan dan sebagainya,” katanya. — Bernama

Advertisement