Anda di sini

Lebuh Raya Pan Borneo dicadang jadi contoh bina jalan pesisir: Yussibnosh

Advertisement

KUCHING: Konsep pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dicadangkan agar menjadi contoh bagi membina jajaran jalan pesisir pantai di negeri ini.

Cadangan itu disuarakan oleh Yussibnosh Balo (BN-Balingian) yang menjelaskan bahawa jajaran jalan pesisiran pantai dari Sematan ke Miri itu penting bagi menggalakkan kegiatan ekonomi di pesisiran pantai di negeri ini.

“Sebagai mewakili rakyat yang tinggal di kawasan pesisir pantai, saya memohon agar konsep pembinaan lebuh raya yang sama (Pan Borneo) dilaksanakan untuk jajaran jalan pesisir pantai dari Sematan hingga ke Miri.

“Hal ini kerana kawasan pesisir pantai ini kaya dari segi sumber ekonomi sama ada hasil bumi mahupun hasil lautnya.

“Namun disebabkan kurangnya jaringan jalan raya yang elok, mobilasi penduduk dan ekonominya menghadapi kekangan dan kegiatan ekonominya juga terhad kepada kawasan persekitarannya sahaja,” katanya dalam perbahasannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Selain itu, Yussibnosh turut mencadangkan agar Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat, SESCo dan pihak berkuasa bekalan air tempatan mengecualikan keperluan dalam syarat pengeluaran Sijil Menduduki (OP) bagi projek-projek kerajaan.

Pada masa sama beliau turut melahirkan harapan agar penduduk di kawasannya memiliki Tebingan Mukah seperti yang ada di Kuching.

“Ia (Tebingan Mukah) sebagai sokongan kepada kawasan-kawasan rekreasi yang ada, persekitaran yang terpelihara akan mewujudkan keharmonian termasuk kepada penduduk tempatan yang mendiami kawasan berdekatan,” tambahnya.

Mengenai pelantikan ketua masyarakat dan ketua kaum, beliau berharap syarat pelantikan itu dipertimbangkan untuk rumah panjang di negeri ini.

Pada masa kini beliau menjelaskan bahawa pelantikan secara rasmi ketua kaum, ketua kampung, tuai rumah dan kapitan hanya disahkan jika jumlah pintu mencapai bilangan 20 ke atas.

Katanya disebabkan perkara itu, kebanyakan rumah panjang yang bilangan pintunya kurang daripada 20 pintu, ketua kaumnya tidak dapat dilantik secara rasmi walaupun telah diiktiraf oleh penduduk kampung berkenaan sebagai ketua mereka selama lebih daripada sepuluh tahun.

“Oleh sebab itu saya memohon syarat untuk 20 pintu ke atas dilonggarkan dengan merujuk kepada tempoh ketua kaum tidak rasmi tersebut dilantik oleh penduduk kampung iaitu melebihi 10 tahun (cadangan) atau berdasarkan keperluan yang difikirkan munasabah,” ujarnya.

Advertisement