Anda di sini

Kemelut terlerai

Advertisement

Selepas lima tahun, 49 keluarga terjejas Empangan Bengoh akhirnya setuju berpindah

Oleh Rusnan Mustafa //

SELESAI AKHIRNYA: Dr Jerip beramah mesra dengan penduduk yang terlibat dalam Skim Penempatan Semula Bengoh di pejabatnya semalam.

KUCHING: Kemelut selama lima tahun yang melanda 49 keluarga dari tiga kampung yang terjejas dengan Empangan Bengoh menemui jalan penyelesaian apabila kesemua mereka akhirnya bersetuju untuk berpindah ke Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS).

Menteri Muda Kesihatan Datuk Dr Jerip Susil berkata, menerusi persetujuan yang dicapai, kesemua penduduk yang terlibat dalam skim itu diberi rumah, elaun perpindahan dan tanah pertanian seluas tiga ekar setiap ketua keluarga.

“Saya amat bersyukur dengan persetujuan yang dicapai pada hari ini (semalam) apabila 49 keluarga dari tiga kampung yang terjejas dengan pembinaan Empangan Bengoh akhirnya bersetuju untuk berpindah dengan tiga hak yang diberikan kepada mereka iaitu rumah, elaun perpindahan RM8,000 hingga RM10,000 dan tanah pertanian seluas tiga ekar setiap ketua keluarga.

“Malah, penduduk yang tinggal di atas paras air di empangan itu juga boleh memilih untuk terus tinggal di situ kerana tanah berkenaan adalah milik mereka iaitu tanah NCR (Hak Adat Bumiputera),” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan 49 keluarga dari Kampung Rejoi, Kampung Taba Sait dan Kampung Pain Bojong di pejabatnya di Bangunan Baitul Makmur, Petra Jaya di sini semalam.

Dr Jerip yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh menjelaskan, kesemua penduduk terlibat boleh berpindah ke BRS selepas dua minggu dari sekarang.

“Saya berpendapat kesemua 49 keluarga ini boleh berpindah ke rumah masing-masing dua minggu dari sekarang bagi menyempurnakan pemasangan kemudahan asas seperti air dan elektrik di situ,” tambahnya.

Selain itu, beliau menjelaskan kira-kira 90 peratus daripada 204 ketua rumah disenaraikan dalam e-Kasih sekali gus melayakkan mereka untuk menerima rumah tersebut secara percuma.

Manakala selebihnya, Dr Jerip berkata, penduduk hanya perlu membayar 30 peratus daripada RM70,000 harga rumah berkenaan.

Hadir sama pada pertemuan itu semalam, ADUN Batu Lintang See Chee How yang juga merupakan peguam bela kepada 49 keluarga berkenaan.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB See Chee How dan agensi kerajaan yang terlibat dalam menyelesaikan masalah ini yang akhirnya menemui jalan penyelesaian bersama,” ujarnya.

Advertisement