Anda di sini

K-League: Petra Giant FC teruskan rentak kemenangan

Advertisement

KUCHING: Petra Giant FC meneruskan rentak kemenangan dalam kempen K-League iM 2015 selepas berjaya menjinakkan Borneo Island FC, 2-1 pada perlawanan yang cukup sengit di Padang C semalam.

Bagaimanapun, Petra Giant dikejutkan dengan jaringan pembukaan Borneo Island menerusi Mohamad Shariee Shukraw pada minit ke-24.

Tersentak dengan gol lawan, Petra Giant kendalian Nazrul Hayat memperkemas corak permainan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-37 hasil jaringan Julaihi Azid.

Tiga mata penuh akhirnya milik mutlak Petra Giant selepas penyerang berbisa mereka, Mohd Affendi Julaihi meledak gol kemenangan pada minit ke-79.

Borneo Island hampir mencipta kejutan dengan melancar deretan serangan pada minit-minit terakhir perlawanan namun dihampakan oleh ketangkasan penjaga gol Petra Giant.

Petra Giant kini mengumpul 10 mata hasil dari tiga kemenangan dan sekali seri.

Petang ini berlangsung satu lagi perlawanan sengit menyaksikan pendahulu liga KKR Axis turun menentang FC Brooke pada jam 4.15 petang.

Advertisement