Anda di sini

Hargai pencapaian anak-anak walaupun hanya kejayaan kecil

Advertisement

SIMBOLIK: Adenan bersama Jamilah (lima kiri) diiringi oleh Fatimah (empat kiri), Zaiton (tiga kanan) serta tetamu jemputan lain memotong kek sebagai simbolik sambutan Hari Ibu Bapa di Kuching, malam kelmarin.

KUCHING: Ibu bapa seharusnya menyokong anak-anak dengan menghargai pencapaian mereka walaupun ia hanya kejayaan kecil sahaja.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, ia menunjukkan bahawa ibu bapa menghargai apa sahaja yang dilakukan anak-anak terutama di sekolah.

“Misalnya Hari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau penyampaian hadiah datanglah, ini kerana asal ada majlis seperti ini hanya ibu bapa ahli PIBG sahaja hadir tetapi ibu bapa lain tidak ada.

“Jangan kecewakan mereka kerana anak anda mendapat penghargaan walaupun ia kecil sahaja tetapi anda tidak berada di sana,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Hari Ibu Bapa anjuran Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Wanita Cawangan Kuching dan Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga di sini, malam kelmarin.

Adenan menegaskan, sehubungan itu bagi menghargai anak mereka, ibu bapa harus menghadiri apa jua aktiviti yang diadakan di sekolah dan sebagainya dan bukannya menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepada guru sahaja.

“Tunjukkan kepada anak anda bahawa anda menghargai apa yang mereka lakukan.

“Jangan berjanji kepada anak-anak jika tidak dapat ditunaikan dan kanak-kanak tidak boleh dikecewakan.

“Jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab kerana pada penghujungnya nanti, mereka akan menjaga anda,” tegasnya.

Adenan pada masa yang sama turut menasihati ibu bapa agar menanam nilai kasih sayang sejak awal lagi di kalangan anak-anak mereka dalam usaha mengukuhkan institusi sesebuah keluarga.

Beliau berkata pada abad ke-21 kini yang penuh dengan teknologi, pastinya membawa banyak godaan terhadap institusi kekeluargaan.

Ujarnya ia pasti akan membawa banyak impak dan menjadikan institusi kekeluargaan masa kini lebih kritikal dan perlu difahami.

“Maka itu saya berharap anda menanam nilai kasih sayang kepada anak-anak supaya mereka menjadi insan yang lebih baik dan pada masa yang sama mengekalkan keutuhan kekeluargaan,” katanya.

Majlis turut dihadiri isteri Adenan, Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah dan Pengerusi DUBS Wanita Cawangan Kuching merangkap Presiden Persatuan Masakan dan Kuih Muih Sarawak Zaiton Istiar Hussain Khan.

Advertisement