Anda di sini

Buku perkenal Sarawak kepada pelabur asing

Advertisement

The Report: Sarawak 2015 padat maklumat, letak Sarawak sebagai destinasi pelaburan strategik

Oleh Saibi Gi //

PELANCARAN: Taib membelek buku ‘The Report: Sarawak 2015’ yang menampilkan Sarawak sebagai destinasi pelaburan. Turut kelihatan, Adenan dan Paulius (kanan).

KUCHING: Buku The Report: Sarawak 2015 berperanan membantu memperkenalkan Sarawak kepada para pelabur asing di seluruh dunia.

Pengarang Urusan Oxford Business Group (OBG) Asia Paulius Kuncinas yang juga penerbit buku itu berkata, kandungannya yang padat dengan maklumat tentang negeri ini dan amat bermanfaat dalam meletakkan Sarawak sebagai destinasi pelaburan strategik.

Dengan kekayaan sumber asli, Sarawak merupakan destinasi pelaburan yang mampu berkembang dengan lebih pesat apabila ia memberi tumpuan dalam pembangunan sektor tenaga kompetitif yang amat mustahak bagi industri.

Buku yang dilancarkan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Dewan Undangan Negeri semalam juga mengetengahkan artikel-artikel hasil temu ramah dengan orang penting dalam pembangunan ekonomi Sarawak.

Ia memuatkan artikel temu ramah dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang turut hadir pada majlis pelancaran.

Pandangan dan pendapat Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani, Ketua Eksekutif Sarawak Energy Bhd Datuk Torstein Dale Sjotveit dan Ketua Eksekutif RECODA Tan Sri Datuk Amar Wilson Baya Dandot turut disertakan.

Paulius berkata OBG menghasilkan laporan ini dengan memberi tumpuan terhadap aktiviti ekonomi yang dipelopori Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Laporan kami merangkumkan kisah pembangunan negeri ini yang kini memasuki bab kian menarik dengan menampilkan SCORE,” katanya.

Mengulas mengenai SCORE, beliau berkata ia merupakan projek yang berjaya dan diyakini berupaya melonjakkan kedudukan ekonomi Sarawak ke tahap lebih tinggi.

“SCORE kini berada di kedudukan pertama dan berada di landasan yang betul.

“Cuma usaha perlu ditingkatkan bagi menambah keyakinan para pelabur terhadap keupayaan Sarawak memenuhi kehendak mereka,” tegasnya.

Advertisement