Anda di sini

Azizah nafi dakwaan kononnya pelaksanaan 1AZAM tidak telus

Advertisement

TELUS: Sebahagian daripada penduduk yang hadir menyambut ketibaan Azizah (dua kanan) pada perasmian Pesta Kaamatan Zon Kelampun di Beaufort kelmarin.

BEAUFORT: Dakwaan segelintir pihak yang mengatakan pelaksanaan program 1AZAM tidak telus untuk membantu golongan miskin di negara ini adalah tidak berasas sama sekali, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun.

Sebaliknya, beliau berkata program 1AZAM telah banyak membawa manfaat kepada kumpulan sasar iaitu rakyat yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dan miskin tegar.

Menurutnya, program itu secara amnya membuka banyak peluang kepada kumpulan sasar hingga sebahagian besar yang terlibat dalam 1AZAM berjaya mengubah kehidupan mereka.

“Program 1AZAM juga telah melahirkan ramai usahawan berjaya hingga mampu meraih pendapatan lumayan setiap bulan sedangkan mereka ini dahulunya terdiri daripada golongan tidak berkemampuan dan miskin tegar.

“Ada antara peserta terlibat yang ketika ini telah bergelar usahawan berjaya dan mampu meraih pendapatan purata dari RM4,000 hingga RM7,000 sebulan, malah ada yang meraih sehingga RM16,000 sebulan.

“Ia sekali gus mengeluarkan mereka dari garis kemiskinan yang pernah menyelubungi mereka sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Kaamatan Zon Kelampun di Balairaya Anyu Diri, di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, kejayaan peserta 1AZAM itu membuktikan bahawa program berkenaan dilihat telah mencapai objektifnya.

Bagaimanapun katanya, sudah tentu pelaksanaan sesuatu program besar itu mempunyai beberapa kelemahan namun ia cuma masalah kecil berbanding kejayaan besar yang dicapai selama ini.

“Hanya disebabkan terdapat masalah kecil, kita seolah-olah menutup mata hingga melupakan kejayaan besar yang selama ini telah banyak mambantu rakyat dari golongan susah.

“Kejayaan sesuatu program itu dilihat daripada hasil pelaksanaannya, bukan kelemahan kecil yang dijadikan sebagai kayu pengukur kerana setiap masalah boleh diperbaiki dan diselesaikan.

“Justeru, saya berpendapat program 1AZAM ini perlu diteruskan kerajaan demi membantu lebih ramai rakyat dari golongan miskin tegar,” katanya yang turut memaklumkan bahawa program berkenaan telah diaudit oleh Juruaudit Negara.

Katanya, hasil audit juga telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) dan beliau difahamkan PAC Parlimen akan memanggil pegawai tertentu untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Advertisement