Anda di sini

ASEAN perlu diketengahkan sebagai kuasa ketiga: Najib

Advertisement

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berkata ASEAN perlu diketengahkan sebagai kuasa ketiga yang menjadi tumpuan komuniti perniagaan global yang kini dilihat lebih tertarik kepada pasaran seperti China dan India.

Beliau berkata ASEAN mampu muncul sebagai kuasa ekonomi yang cergas dan berpotensi besar bersandarkan kepada saiz penduduknya yang secara kolektif berjumlah 625 juta dan bertambahnya golongan kelas pertengahan.

“Saya hendak tonjolkan ASEAN sebagai kuasa ketiga, maknanya tumpuan tidak hanya diberi kepada negara-negara yang mana pasaran mereka itu besar seperti negara China dan India,” jelasnya.

Najib ditemu bual Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di pejabat beliau di Putrajaya menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 yang dihoskan Malaysia pada 26 dan 27 April ini.

Perdana menteri yang juga menteri kewangan turut menekankan pentingnya pembangunan ekonomi negara ASEAN berlangsung secara inklusif dan seimbang.

Najib menarik perhatian bahawa mengurangkan jurang pembangunan sememangnya satu daripada agenda ASEAN dengan negara yang dilihat agak kebelakang diberi peluang untuk menyaingi termasuk dari segi pembangunan infrastruktur dan kesambungan. — Bernama

Advertisement