Anda di sini

Jom sertai Larian Bersama Bomba 2015 pada 23 Mei

Advertisement

SIBU: Orang ramai dipelawa mengambil bahagian dalam Larian Bersama Bomba 2015 sempena Hari Anggota Bomba Sedunia di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Bumimas, Sibu Jaya pada 23 Mei depan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu Abdul Mutalib Rashid berkata, program anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 4 itu menyasarkan penyertaan lebih 500 peserta bagi enam kategori larian.

“Kategori Lelaki dan Wanita Terbuka untuk mereka yang berusia 45 tahun ke bawah dengan jarak larian sejauh lapan kilometer, kategori lelaki dan perempuan junior untuk mereka yang berusia 18 tahun ke bawah dengan jarak larian sejauh enam kilometer.

“Manakala, kategori veteran terbuka kepada mereka yang berusia 45 tahun ke atas juga dengan jarak larian sejauh enam kilometer,” jelasnya ketika ditemui pemberita pada sesi taklimat dan sidang media di Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, semalam.

Abdul Mutalib memberitahu, yuran penyertaan bagi kategori lelaki dan wanita terbuka serta veteran adalah RM20 dan mereka yang menyertai kategori lelaki dan perempuan terbuka dikenakan yuran penyertaan RM10.

“Borang penyertaan boleh didapati di balai-balai bomba berdekatan. Tarikh akhir menghantar borang penyertaan adalah pada 10 Mei ini,” ujarnya sambil menambah 250 peserta awal mendaftar bakal menerima cenderamata berupa baju-T.

Johan kategori lelaki dan wanita terbuka serta lelaki dan perempuan junior bakal membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM300, medal dan sijil penyertaan, naib johan mendapat hadiah wang tunai RM200, medal dan sijil penyertaan.

Manakala, pemenang tempat ketiga mendapat hadiah wang tunai RM150, medal dan sijil penyertaan, pemenang tempat keempat mendapat hadiah wang tunai RM100, medal dan sijil penyertaan dan hadiah wang tunai RM50, medal dan sijil penyertaan menanti pemenang tempat kelima.

Bagi pemenang tempat keenam hingga ke-20 kategori lelaki dan wanita terbuka serta lelaki dan perempuan junior turut mendapat sijil penyertaan dan medal.

Hadiah wang tunai RM300, medal dan sijil penyertaan menanti johan kategori veteran, diikuti naib johan mendapat hadiah wang tunai RM200, medal dan sijil penyertaan, pemenang tempat ketiga mendapat hadiah wang tunai RM150, medal dan sijil penyertaan dan pemenang tempat keempat mendapat hadiah wang tunai RM100, medal dan sijil penyertaan.

Manakala, pemenang tempat kelima hingga kesepuluh kategori veteran akan mendapat hadiah berupa medal.

Advertisement