Anda di sini

Empat suspek ditahan di Semporna terbabit dalam pencerobohan

Advertisement

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu seorang bekas Penolong Komander Operasi Unit Tindakan Khas (UTK) percaya empat tertuduh dalam perbicaraan kes pencerobohan Lahad Datu terbabit dalam pencerobohan dan pertempuran di Kampung Simunul, Semporna.

Bagaimanapun, ACP Hazani Ghazali berkata siasatan lanjut terhadap individu berkenaan — Tani Lahaddahi, Abd Hadi Mawan, Norhaida Ibnahi dan Datu Amir Bahar Hushin Kiram — yang ditahan di bawah kawalannya di Semporna, adalah perlu untuk menentukan tahap pembabitan mereka dalam insiden itu.

“Saya hanya menjalankan proses tangkapan awal untuk tujuan siasatan lanjut.

Proses tangkapan semula (ke atas empat suspek tersebut) akan dijalankan oleh unit (polis) yang lain,” katanya semasa disoal balas peguam Datuk N. Sivananthan.

Hazani, yang kini Timbalan Ketua Staf Pasukan Gerakan Khas di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di Lahad Datu, memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan oleh kumpulan lelaki bersenjata Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Menjawab soalan Sivananthan, pegawai polis itu memberitahu mahkamah Tani merupakan saksi paling penting daripada empat suspek berkenaan.

Beliau turut bersetuju dengan peguam bahawa laporan polis berkaitan Tani merupakan satu-satunya laporan yang menyatakan penahanannya dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Sivananthan: Jadi, kamu pasti Tani terbabit dalam pencerobohan, yang dinyatakan dengan sangat jelas dalam laporan polis bahawa penahanannya dibuat mengikut SOSMA, sedangkan tiga orang lagi pada mulanya ditahan sebab pihak berkuasa tidak pasti sama ada mereka turut terlibat?

Hazani: Bagi saya, kesemua mereka terlibat dalam pencerobohan di Kampung Tanduo dan pertempuran di Kampung Simunul pada 2 Mac 2013.

Sivananthan: Adakah kamu setuju bahawa apabila kamu membuat laporan polis berkaitan penahanan Datu Amir Bahar pada 23 Mac 2013, kamu sudah pun melihat laporan polis yang dibuat DSP Mohd Nasaruddin M. Nasir (pegawai UTK yang menahan Tani) pada 10 Mac 2013, yang menyatakan penahanan Tani adalah mengikut SOSMA?

Hazani: Ya.

Sivananthan: Adakah kamu bersetuju dengan saya bahawa DSP Mohd Nasaruddin mendapat taklimat sama seperti yang kamu beri kepada DSP Khairul Azhar Nurudin (pegawai UTK yang menahan Abd Hadi) dan Inspektor Radin Ramlan Radin Taha (pegawai UTK yang menahan Norhaida)?

Hazani: Ya.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung hari ini. — Bernama

 

Advertisement