Anda di sini

15 individu diberkas disyaki menyamun kedai 24 jam

Advertisement

KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu menahan 15 individu berumur antara 15 hingga 28 tahun, seorang daripadanya pelajar sekolah, kerana disyaki menyamun beberapa kedai 24 jam di Penampang dan sekitar bandar raya Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP M Chandra berkata kesemua suspek, enam daripadanya wanita, ditangkap dalam tiga lokasi berasingan sejurus selepas insiden samun kedai 24 jam di Bandaran Berjaya pada 19 April lalu, kira-kira jam 5.50 pagi.

Chandra berkata tujuh daripada suspek berkenaan ditahan di dalam sebuah kereta di Taman BDC selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang ketika cuba melarikan daripada kereta peronda polis yang mengejar mereka selama 45 minit.

“Susulan daripada tangkapan itu, pada hari yang sama, polis berjaya menahan enam lagi anggota kumpulan itu di kawasan Api-Api Centre,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Karamunsing, di sini semalam.

Katanya seorang daripada enam suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan pernah ditangkap serta dihukum penjara kerana menyamun dua tahun lalu.

Chandra berkata tangkapan enam suspek berkenaan membawa kepada penahanan dua lagi suspek di perumahan Kepayan Ridge dan kesemua 15 suspek kini ditahan reman sehingga 23 April bagi membantu siasatan.

Berikutan tangkapan itu, katanya, polis turut merampas dua buah kereta, satu daripadanya milik ibu bapa seorang suspek yang dipercayai digunakan untuk tujuan jenayah, beberapa utas jam tangan, pisau, baju, wang tunai, dan besi yang dianggarkan bernilai RM60,000.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak mereka khususnya selepas tengah malam bagi mengelak mereka terlibat dengan gejala jenayah.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata polis menahan dua lelaki berumur 36 dan 40 tahun kerana disyaki memiliki dadah jenis ketamin seberat 52.05 gram yang dianggarkan bernilai RM1,200 di Taman Golf View, Luyang kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

Katanya empat paket plastik lut sinar dan satu penyedut minuman kecil berwarna merah masing-masing berisi serbuk putih ditemui di dalam beg seorang suspek selepas polis menahan dan membuat pemeriksaan ke atas kereta suspek itu.

“Kedua-dua suspek positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati,” katanya. — Bernama

 

Advertisement