Anda di sini

Wang tunai RM21,000 tunggu pemenang

Advertisement

Oleh Clare Cinderella //

Perlumbaan Miri City Day Run 2015 anjuran MBM menawarkan hadiah lumayan

MIRI: Perlumbaan ‘Miri City Day Run 2015’ dianjurkan Majlis Bandaraya Miri (MBM) buat julung kalingnya menawarkan hadiah wang tunai lumayan berjumlah lebih RM21,000 di samping medal dan sijil penyertaan.

Hadiah wang tunai ditawarkan kepada 10 pemenang teratas bagi semua kategori dipertandingkan pada perlumbaan itu.

Datuk Bandar MBM, Lawrence Lai pada sidang medianya di sini semalam memberitahu sebagai galakan peserta mengambil bahagian, sebanyak 2,000 medal disediakan dan diberikan kepada 2,000 peserta berjaya.

Perlumbaan itu merangkumi jarak sejauh 10 kilometer dan dibahagikan kepada enam kategori iaitu Lelaki Terbuka dan Wanita Terbuka (yang tiada had umur), Lelaki Veteran dan Wanita Veteran (berusia 45 tahun dan ke atas) serta Lelaki Junior dan Wanita Junior (kedua-dua kategori ini dibuka untuk pelajar sekolah berumur 9 hingga 17 tahun).

Juara bagi setiap kategori bakal menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,000, naib juara menerima RM700, tempat ketiga RM500, keempat – RM350, kelima – RM300, keenam – RM250, ketujuh – RM200, kelapan – RM150 serta tempat kesembilan dan kesepuluh masing- masingnya RM50.

Selain perlumbaan tersebut, turut diadakan Miri City Day Fun Run 5KM iaitu larian suka-suka sahaja dengan jarak sejauh lima kilometer dan tidak dipertandingkan serta dibuka kepada semua dari peringkat kanak-kanak hingga dewasa.

Memandangkan tiada hadiah untuk acara itu, penganjur menyediakan baju-T sebagai tanda penghargaan atas penyertaan dan sokongan orang ramai bagi menjayakan acara tersebut.

“Sempena larian kedua-dua acara ini, kita menyediakan sebanyak 10,000 baju-T dengan menganggarkan 10,000 atau lebih peserta mengambil bahagian,” katanya sambil meminta sokongan seluruh warga Miri turut serta bagi meraikan ulang tahun ke-10 Miri sebagai bandar raya menjelang 20 Mei depan.

Sementara itu, acara Miri City Day Run – 10KM dan 5KM berlangsung di Marina Parkcity pada 17 Mei bermula jam 6.30 pagi untuk sesi pendaftaran, manakala pelepasan peserta jam 7 pagi.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem adalah tetamu kehormat pada majlis itu.

Dalam pada itu, borangborang penyertaan sudahpun dikeluarkan dan boleh diambil sama ada dari kaunter pertanyaan di MBM di sini ataupun dimuat turun laman web rasmi MBM.

Tarikh tutup penyertaan pada 12 Mei dan semua pendaftaran bagi perlumbaan Miri City Day Run 10KM yang dibuat sebelum 5 Mei yuran dikenakan ialah RM30, manakala pendaftaran pada 5 Mei hingga tarikh tutup pada 12 Mei ialah RM50.

Bagi acara Fun Run 5KM, penyertaan adalah percuma namun semua borang penyertaan perlu dikembalikan kepada jawatankuasa penganjur di Perpustakaan Awam Miri di Tingkat 2, Dewan Suarah Miri.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara di atas boleh dikemukakan kepada Jurailla atau Hasimah di talian 085-430020 atau Mohammad Nurhisham (085-424984) pada waktu pejabat.

Advertisement