Anda di sini

Pencarian ‘bintang’ Sarawak

Advertisement

Oleh Mahathir Haroun //

Liga Kuching pemangkin mencari bakat-bakat baharu bola sepak: Abang Johari

KUCHING: Liga Kuching (K-League) berpotensi menjadi pemangkin pencarian bakat-bakat baharu dalam sukan bola sepak negeri ini, kata Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Sehubungan itu, beliau berkata standard liga tersebut perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk memastikan pemain-pemain berkualiti dapat dilahirkan.

Menurutnya, usaha seperti itu penting untuk membantu Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dalam pembangunan bola sepak negeri ini.

“Kita mahu suatu masa nanti K-League dapat menjadi tempat mencari pemain-pemain baharu yang berbakat sekali gus mampu diserapkan ke dalam pasukan Sarawak,” katanya pada sidang media selepas pertemuan bersama Kelab Sukan Komuniti (KSK) Satok di sini semalam.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan menjelaskan, Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA) juga harus memperbanyak penganjuran pertandingan bola sepak melibatkan peringkat umur.

“Saya pernah berbincang dengan KDFA sebelum ini agar menganjurkan pertandingan dengan standard tinggi selain memperbanyak penganjuran pertandingan bola sepak tempatan,” ujarnya.

Beliau turut memuji usaha pihak swasta menubuhkan akademi bola sepak di bandar raya ini.

“Usaha seperti itu amat menarik kerana merupakan usaha membangunkan bola sepak tempatan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pasukan KSK Satok Irwan Zulkarnain Hasbie berkata hampir 80 peratus pemainpemain pasukannya tidak pernah menyertai pertandingan bola sepak kompetitif sama ada peringkat negeri atau bahagian.

“Kebanyakan pemain kita adalah muka baharu hasil sesi pemilihan yang dijalankan pada 22 Mac lalu melibatkan 60 orang pemain.

“Sesi pemilihan itu menyaksikan hanya 23 pemain dipilih untuk menyarung jersi KSK Satok pada saingan KLeague,” kata Irwan.

KSK Satok dibimbing jurulatih berpengalaman, Nazarie Kushairy setakat ini mengalahkan Borneo Island FC dengan 1-0 dan tewas kepada KKR Axis (4-0).

Pada majlis itu, Abang Johari turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada KSK Satok.

Advertisement