Anda di sini

Kuching rangkul juara Kejohanan Balapan dan Padang MSS Sarawak

Advertisement

SIBU: Kontinjen dari Kuching dinobatkan juara keseluruhan pada Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sarawak di Stadium Tun Zaidi di sini petang Sabtu lalu.

Kuching mengungguli beberapa acara berjaya merangkul sebanyak 39 pingat emas, 24 perak dan 22 pingat gangsa dengan pungutan sebanyak 447 mata bagi menjulang piala juara keseluruhan.

Manakala kontinjen Miri berada di tangga kedua mengutip 29 emas, 29 perak dan 27 gangsa dan Sibu dengan 16 emas, 22 perak dan 19 gangsa.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Sarawak, Serina Sauni.

Sementara itu, terdapat 19 rekod baharu dicipta sepanjang kejohanan tersebut.

Norris Foo dari Sibu mencipta tiga rekod baharu bagi kategori wanita 18 tahun ke bawah acara 100m lari berpagar, 100m dan 200m.

Norris berjaya memadam rekod lama acara 100m lari berpagar iaitu 15.2s yang dipegang Vanysia Ulau Janda, 2010 dengan catatan rekod baharu iaitu 14.8s.

Selain itu, Norris juga berjaya mengatasi rekod lamanya pada pada acara 200m dengan catatan rekod baharu iaitu 25.1s berbanding 25.49s pada tahun lalu (2014).

Kategori lelaki bawah 15 tahun, Samuel Ling Jeng Yi dari Miri melakar rekod baharu acara melontar peluru dengan catatan sejauh 15.45m, mengatasi rekod dipegang Sim Quan Ying, 2014 iaitu 13.78m.

Acara lari berpagar 200m kategori lelaki bawah 14 tahun turut mencatatkan rekod baharu dicipta Mohd Norhazim Ahmad dari Kuching catatan masa 25.7s berbanding rekod lama 27.3s dipegang Jeremy Brandon Danny.

Selain itu, rekod baharu acara lompat kijang bagi kategori wanita bawah 14 tahun dilakar Ruby Lee dari Miri dengan lompatan sejauh 10.60m sekali gus memadam rekod lama 10.47m.

Rekod lama bagi acara lompat jauh kategori wanita bawah 12 tahun turut dipadamkan oleh atlet dari Limbang, Madalina Mimi Angga dengan catatan rekod terbaru sejauh 4.77m berbanding 4.62 sebelumnya.

Selain itu, Wong Siew Hung dari Sarikei meraih emas acara baling tukul emas bagi kategori lelaki bawah 18 tahun dan mencipta rekod baharu acara tersebut dengan sejauh 59.47m mengalahkan rekod lama Jackson Wong (2014) iaitu 53.63m.

Atlet lain mencipta rekod baharu ialah Quek Lee Yong bagi kategori L18, Nur Aini Zahirah Saipul Hizam (P15), Mohd Nur Aidiel Messelan (L15), Ngu Ing Biao (L15), Noorkhamsiahwati Said (Pentatlon), Abdul Rahman Lee (L18), Macclair Jenggut (L15) dan Wong Xiao Jing (LT).

Advertisement