Anda di sini

Kenaikan gaji Ahli Parlimen berdasarkan sumbangan

Advertisement

Ahli Parlimen tidak minta, tidak patut dikaitkan dengan GST

KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji dan elaun Ahli Parlimen baru-baru ini bukanlah atas permintaan mereka, sebaliknya atas keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan dan sumbangan mereka kepada negara, kata Presiden Majlis Senator Malaysia (MSM) Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman.

Beliau berkata kenaikan itu dilakukan pada kadar yang berpatutan.

“Perlu diberitahu, gaji Ahli Parlimen di negara ini adalah yang terendah jika dibandingkan dalam dunia seperti Kemboja misalnya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, semalam.

Beliau berkata kenaikan gaji dan elaun itu sepatutnya tidak dikaitkan dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang didakwa membebankan rakyat ketika ini.

Dewan Rakyat sebelum ini meluluskan Rang Undang-Undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2014 berkaitan kenaikan gaji dan elaun Ahli Parlimen.

Dengan lulusnya rang undang-undang itu, gaji bulanan anggota Dewan Rakyat dinaikkan kepada RM16,000 daripada RM11,000, anggota Dewan Negara (RM11,000 daripada RM7,000), Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat (RM22,000 daripada RM16,000) dan Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat (RM31,000 daripada RM20,000).

Ketika ini, Ahli Parlimen menerima gaji pokok RM6,508.59 sebulan selain elaun bulanan RM5,000 bagi menampung perbelanjaan keraian, gaji pemandu, perjalanan dan bil telefon bimbit.

Mereka juga dibayar elaun mesyuarat RM200 sehari apabila menghadiri persidangan Dewan Rakyat dan elaun harian RM150 bagi menghadiri mesyuarat dengan agensi kerajaan.

Sementara itu, Abdul Rahim yakin Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada Selasa lepas  dibuat setelah memikirkan ancaman militan IS yang semakin membimbangkan pada masa ini.

“Ia (kelulusan undang-undang) terpaksa dibuat sebab ‘kebimbangan’ IS. Ia dibuat untuk ‘pencegahan’. Sungguhpun saya difahamkan ia terpaksa dibahas sehingga pukul 3 pagi, ahli parlimen dilihat sungguh ‘bertanggungjawab’ dan memberikan yang terbaik untuk ia dilaksanakan,” katanya.

Abdul Rahim turut mengulangi kenyataan MSM sebelum ini yang memberi sokongan dan kepercayaan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata sejak dilantik perdana menteri enam tahun lepas, pelbagai kritikan telah dihalakan terhadap Najib, baik atas kedudukannya sebagai pemimpin negara mahupun kehidupan peribadinya.

“Malangnya, kebanyakan kritikan yang ditujukan kepada beliau adalah tidak berasas dan tidak kurang pula berbaur skeptikal serta kurang yakin atas beberapa keputusan dan tindakan yang dilakukan perdana menteri.

“MSM melihat gejala ini sebahagian daripada asam garam yang terpaksa dilalui beliau sebagai pemimpim negara. Bahkan pemimpin-pemimpin negara sebelum beliau tidak sunyi daripada kritikan-kritikan sedemikian,” katanya. — Bernama

Advertisement