Anda di sini

Peniaga ambil kesempatan disifatkan pensabotaj ekonomi

Advertisement

MUADZAM SHAH: Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan menyifatkan peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai pensabotaj ekonomi negara.

Ini kerana, kata beliau, pelaksanaan cukai baharu sejak 1 April itu sepatutnya membolehkan rakyat menikmati penurunan harga barangan memandangkan kadar GST ialah enam peratus, berbanding 10 peratus cukai jualan dan perkhidmatan sebelum ini.

“Bagaimanapun, mereka ini (pensabotaj ekonomi) ada barangan yang tidak patut dikenakan GST, mereka sewenang-wenangnya caj GST menyebabkan berlaku kenaikan harga.

“Kalau hendak dikatakan mereka ini tidak faham tentang GST, ia tidak boleh diterima kerana kita telah beri penjelasan mengenainya selama setahun dan tujuh bulan… di televisyen, radio dan surat khabar,” katanya.

Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penerangan isu semasa di pejabat UMNO Rompin di sini, semalam.

Sehubungan itu, Ahmad menasihatkan golongan peniaga supaya mengamalkan etika perniagaan yang baik atau berisiko kehilangan pelanggan yang akan mencari alternatif selain boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Ketika diminta mengulas mengenai rungutan orang ramai berhubung caj perkhidmatan pada kadar 10 peratus, Ahmad berkata peniaga dan pihak berwajib mempunyai pilihan untuk mengenakan kadar yang lebih murah kepada pelanggan.

“Tidak ada peraturan yang mengatakan caj perkhidmatan ini mesti pada kadar 10 peratus.

“Sepatutnya mereka yang hendak mengenakan caj ini juga mesti mempunyai Perjanjian Kolektif dan jika tidak, mereka mengambil keuntungan tambahan sahaja,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad menasihatkan pemilik perniagaan terlibat untuk mengurangkan caj perkhidmatan itu, kerana ia juga boleh menjadi faktor untuk pengguna memilih sesuatu premis perniagaan. — Bernama

Advertisement