Anda di sini

PBBM anjur kejohanan Mr Miri pada 26 April

Advertisement

MIRI: Persatuan Bina Badan Bahagian Miri (PBBM) akan menganjurkan Kejohanan Bina Badan Mr Miri 2015 pada 26 April di Aras Tiga, Pusat Beli- Belah Boulevard.

Pengerusi PBBBM Jamilah Ibrahim berkata, pertandingan itu akan diadakan dari jam 12 tengah hari hingga 6 petang dan dijangka akan dirasmikan oleh Datuk Bandar Lawrence Lai.

Bercakap pada sidang media semalam, Jamilah berkata sebanyak 10 kategori dipertandingkan iaitu Mr Body Fitness, Mr Novice 2015, Masters (45 tahun ke atas), Junior (21 tahun ke bawah), Flyweight (60 kg ke bawah), Bantamweight (60kg hingga 65kg), Lightweight (65 kg hingga 70 kg), Welterweight (70 kg hingga 75 kg), Light Middleweight (75 kg to 80 kg) dan Middleweight (80 kg ke atas).

“Peserta terbaik daripada setiap kategori ini akan bertanding dalam Juara Antara Juara bagi merebut gelaran Mr Miri 2015,” katanya sambil menambah dianggarkan 60 peserta dari bahagian Miri, Limbang dan Bintulu mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

Jamilah berkata, objektif kejohanan ialah bagi mencungkil bakat baharu dalam acara itu sekali gus memartabatkan sukan bina badan Miri.

“Kita berharap melalui kejohanan ini dapat melahirkan atlet bina badan yang berkualiti dan berpengalaman untuk mengharumkan nama Miri di peringkat negeri dan negara.

Pada masa yang sama dapat mewakili Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Pada masa sama beliau berharap dapat mengembangkan sukan Miss Fitness iaitu kategori bina badan untuk wanita.

Pengerusi pengelola Cheyenne Moris berkata, borang permohonan boleh diperolehi di Body Evolution Gym Miri dan Gimnasium Rakyat Miri dan borang yang telah lengkap hendaklah dihantar sebelum atau pada 25 April.

Keterangan lanjut sila hubungi Jamilah menerusi talian 012 8768030, Cheyenne (016-8525161), Muhd Ashraf Daniel Chen (012-8766576) atau Saiful Bahri Norsidi (016- 8566647).

Kejohanan ditaja oleh Pusat Beli-Belah Boulevard Miri, Ree Lax Café, Majlis Bandaraya Miri, Body Evolution Gym, Bumi Kenyalang Tees-BKT, Mr. D Gym (Limbang), E-ZY Health Fitness Centre, Gym 360, D. AzizMFN, Mesotropin Sarawak dan Gimnasium Rakyat Miri.

 

Advertisement