Anda di sini

Jawatankuasa caj perkhidmatan ditubuh

Advertisement

Berperanan mengenal pasti mekanisme untuk mengawal selia caj perkhidmatan: KPDNKK

KUALA PILAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menubuhkan Jawatankuasa Caj Perkhidmatan bagi mengkaji prosedur pelaksanaan caj perkhidmatan di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata selain KPDNKK, jawatankuasa ini turut dianggotai Kementerian Kewangan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Pelancongan dan Kebudyaan.

“Melalui jawatankuasa ini, kita akan mengenal pasti mekanisme untuk mengawal selia caj perkhidmatan. Ini termasuk rangka kerja kawal selia untuk isu caj perkhidmatan. Di samping itu, peraturan perundangan untuk pelaksanaan kawal selia juga akan ditentukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan tahunan UMNO cawangan Kuala Jemapoh dekat sini, semalam.

Katanya kementeriannya menerima banyak aduan daripada badan bukan kerajaan kepenggunaan berkenaan isu kutipan caj perkhidmatan sebanyak 10 peratus yang dikenakan industri perhotelan dan industri ‘Food and Beverages’ (F&B).

“Kita bimbang caj perkhidmatan ini akan mengelirukan pengguna selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana kebanyakan pengguna beranggapan ia adalah caj di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” katanya.

Hasan berkata pihak NGO juga mempersoalkan sama ada hasil kutipan ini disalurkan kepada pekerja atau menjadi keuntungan sampingan syarikat.

Kutipan ini, katanya, seharusnya diberi oleh pengguna atas layanan dan perkhidmatan pekerja kepada pengguna.

Beliau berkata caj perkhidmatan antara lima dan 10 peratus yang dikenakan pihak hotel dan restoran kepada pengguna bukan cukai yang ditetapkan kerajaan, sebaliknya ditentukan oleh pihak industri iaitu industri perhotelan dan F&B.

“Caj perkhidmatan bagi industri perhotelan adalah tetap pada kadar 10 peratus manakala kadar caj perkhidmatan bagi industri F&B adalah daripada lima hingga 10 peratus,” katanya.

Sementara itu, Hasan berkata Kementerian Sumber Manusia bersetuju untuk bekerjasama dengan KPDNKK untuk memantau restoran dan hotel yang mengenakan caj perkhidmatan tetapi tidak mempunyai Perjanjian Kolektif.

Katanya persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat mengenai isu caj perkhidmatan dan gaji pekerja Khamis lepas.

Buat sementara waktu, Hasan menyarankan agar pihak hotel dan restoran yang mengenakan caj perkhidmatan supaya meletakkan notis di depan pintu premis mereka supaya pengguna tidak keliru.

“Kalau pengguna tidak puas hati, mereka boleh membuat laporan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia,” katanya.

Mengenai caj perkhidmatan ini, beliau berkata setakat ini kementeriannya menerima 451 aduan melalui Facebook dan 445 aduan melalui Twitter. — Bernama

Advertisement