Anda di sini

Zon Kabong juara Kejohanan Bola Sepak MSSR Bahagian Betong

Advertisement

KABONG: Zon Kabong menewaskan Zon Spaoh 1-0 pada perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Rendah (MSSR) Peringkat Bahagian Betong di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Alit di sini, kelmarin.

Dengan kemenangan itu, Zon Kabong akan mewakili Bahagian Betong ke kejohanan peringkat negeri di Sri Aman dari 20 hingga 24 April ini.

Penyerang Zon Kabong, Mohamad Zikrillah Opandi muncul wira apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-40 itu memastikan skuad bimbingan Kana John mengecewakan Zon Spaoh.

Kana berkata, kejayaan pasukannya adalah hasil keyakinan para pemain yang disemai dalam setiap latihan sebelum ini.

“Lagipun strategi permainan yang diatur secara bijak ketika berhadapan dengan pasukan lawan juga membolehkan pasukan kami layak bergelar juara.

“Saya puji para pemain kerana mereka mendengar segala arahan yang diberikan oleh jurulatih daripada melakukan sebarang kesilapan yang akan membawa padah kepada pasukan.

“Saya amat gembira dengan pencapaian pemain saya yang dilihat semakin matang dan kami sudah tampak bersedia untuk bersaing pada Kejohanan MSS Peringkat Negeri Sarawak di Sri Aman nanti,” katanya.

Sementara itu, Zon Roban dan Zon Pusa pula menduduki tempat ketiga dan keempat apabila masing-masing tewas dalam persaingan separuh akhir.

Majlis sepak mula dan penyampaian hadiah kepada semua pemain telah disempurnakan oleh wakil Pegawai Pendidikan Daerah Saratok Barmawie Bahidi.

Sebanyak lapan zon bagi sekolah- sekolah rendah di sekitar Bahagian Betong menghantar penyertaan pada kejohanan itu.

Advertisement