Anda di sini

Sabah, Sarawak kekal ‘simpanan tetap’ BN

Advertisement

Rakyat di kedua-dua negeri yakin Najib adalah PM yang memahami kehendak mereka

KOTA BELUD: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Dr Salleh Tun Said yakin Sabah dan Sarawak akan kekal menjadi `simpanan tetap’ Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ini kerana rakyat di kedua-dua negeri berasakan Najib adalah Perdana Menteri yang memahami kehendak mereka.

Malah Najib secara terbuka mengiktiraf bahawa Sabah dan Sarawak adalah rakan penubuhan negara Malaysia menerusi perisytiharan 16 September sebagai cuti umum bagi mengingati tarikh bersejarah itu, katanya.

“Mengambil kira keadaan ini, kami cukup yakin bahawa Sabah dan Sarawak akan tetap menjadi simpanan tetap bagi BN di bawah pimpinan Najib,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini semalam.

Beliau berkata Najib bersikap terbuka dengan perkara yang dibangkitkan oleh kepimpinan BN di Sabah dan Sarawak.

“Pada kami, Najib memahami perasaan orang Sabah dan Sarawak, malah sentiasa memenuhi permintaan kami,” katanya.

Salleh yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Belud berkata jawatankuasa UMNO bahagian yang mengadakan mesyuarat semalam turut mengambil pendirian memberikan sokongan padu terhadap Najib untuk terus mentadbir negara dan mengurus parti.

“Kami berpendapat Najib adalah pemimpin yang mampu memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat, seterusnya membawa Malaysia mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020,” katanya merujuk kepada kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Najib baru-baru ini. — Bernama

Advertisement