Anda di sini

Kerajaan pusat beli tanah untuk bina rumah kekal mangsa banjir di Kelantan

Advertisement

KUALA KRAI: Kerajaan pusat akan membeli atau mengambil balik tanah penduduk untuk pembinaan rumah kekal bagi mangsa yang kehilangan kediaman akibat banjir di negeri ini pada Disember tahun lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata langkah tersebut adalah tindakan segera kerajaan untuk mengatasi masalah ketiadaan tanah yang sesuai untuk pembinaan rumah kekal berkenaan.

“Jawatankuasa Pembangunan Pasca Banjir telah diarahkan untuk segera mengenal pasti tanah-tanah yang sesuai bagi pembinaan rumah kekal itu dan ia berdekatan dengan rumah asal mangsa banjir,” katanya kepada pemberita pada lawatan kerja pascabanjir di Dabong di sini, semalam.

Muhyiddin berkata kerajaan pusat akan menggunakan peruntukan RM700 juta yang disediakan sebelum ini untuk membantu mangsa di negeri-negeri yang dilanda banjir, untuk tujuan penyediaan tanah tersebut.

Beliau berkata terdapat 1,918 buah rumah yang musnah sepenuhnya akibat banjir di Kelantan dan hanya lima buah sahaja yang telah siap dibina, disebabkanfaktor ketiadaan tanah.

Timbalan Perdana Menteri berkata pemilihan tanah yang sesuai akan turut dibincangkan dan mendapatkan persetujuan daripada mangsa banjir yang akan mendudukinya supaya apabila rumah kekal siap dibina, mereka bersedia untuk mendiami rumah berkenaan.

Beliau yang tidak dapat menjangkakan tempoh kesemua rumah kekal itu dapat disiapkan, berkata jawatankuasa berkenaan akan melantik kontraktor tempatan bagi membina rumah berkenaan.

Muhyiddin juga berkata sebanyak 1,858 buah rumah telah dikenal pasti rosak akibat banjir di Kelantan dan kerja membaik pulih yang melibatkan peruntukan antara RM5,000 dan RM10,000  bagi setiap rumah sedang dilakukan.

Beliau menjangkakan kesemua rumah yang rosak itu akan siap dibaik pulih pada Jun depan dan beliau juga mahukan rumah transit segera disediakan kepada mangsa yang masih tinggal dalam khemah sementara menunggu rumah kekal siap.

Katanya beliau sendiri akan membuat pemantauan setiap bulan bagi memastikan kerja pembinaan  rumah kekal dan membaiki rumah yang rosak itu berjalan lancar,

“Saya minta maaf jika ada mangsa yang sudah lama menunggu (untuk mendapatkan rumah kekal), jangan marah kepada kerajaan, kami sudah ada perancangan ke arah penyediaan tanah bagi pembinaan rumah kekal itu.

“Jika tanah hendak diambil balik, (pemilik tanah) tolong berikan, bukan ambil percuma tetapi dibayar ikut harga pasaran, tuan-tuan tanah, kami perlukan sokongan (anda),” katanya. — Bernama

Advertisement