Anda di sini

Semangat Ngap Sayot tetap membara

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

Sarawak perlu manfaatkan kelebihan laman sendiri untuk raih tiga mata berdepan Sime Darby malam ini

AZAM BANGKIT: Pemain memanaskan badan sebelum memulakan sesi latihan di Stadium Negeri sebagai persiapan menghadapi Sime Darby malam ini.

KUCHING: Sarawak perlu memanfaat sepenuhnya peluang untuk mengutip tiga mata penuh tatkala melayan kunjungan Sime Darby FC dalam saingan Liga Super 2015 di Stadium Negeri malam ini.

Selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut, skuad pimpinan Robert Alberts kini terdesak mencari mata untuk memperbaiki kedudukan mereka yang menghuni tangga ke-10 liga.

Menurut Alberts, semangat anak-anak buahnya tetap membara untuk memburu kemenangan meskipun menerima kritikan berterusan daripada para penyokong ekoran prestasi kurang memberangsangkan.

“Sudah tentu kita mahu mencatat kemenangan dan ia misi utama saya setiap kali perlawanan.

“Tetapi harus diingat kita bermain tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan sebelum ini dan ia tidak memberi kelebihan kepada Sarawak,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Alberts turut menggesa jentera serangannya agar memantapkan corak permainan selepas gagal menjaringkan sebarang gol dalam dua perlawanan terakhir.

“Ya, saya akui penyerang kita kurang menyerlah dalam tiga perlawanan terakhir dan ia perlu diperbaiki dengan segera.

“Namun, posisi lain juga perlu lebih fokus terutama barisan pertahanan bagi mengelak gawang kita terus dibolosi,” ujarnya.

Tambahnya, pemain perlu mengelak daripada melakukan kesilapan agar tidak dihukum penyerang lawan.

Mengulas mengenai persiapan Ngap Sayot malam ini, Alberts berkata beliau akan menurunkan kesebelasan terbaik dalam usaha memburu tiga mata mutlak.

Kehadiran semula pemain pertahanan, Ronny Harun yang direhatkan hampir sebulan akibat kecederaan di buku lali menambah tonik skuadnya.

“Ronny kembali dalam skuad namun beliau tidak akan diletakkan dalam kesebelasan utama,” tambahnya.

Advertisement