Anda di sini

Peguam wakili Zamani akan kemuka surat representasi

Advertisement

Memohon Peguam Negara meneliti semula pertuduhan

KUALA LUMPUR: Peguam mewakili penyanyi Zamani Ibrahim dan pembantu peribadinya Nur Juliana Abdul Rani semalam memberitahu MahkamahMajistret Ampang di sini pihaknya akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara Isnin ini supaya mempertimbangkan pertuduhan terhadap mereka.

“Surat ini bagi memohon agar Peguam Negara meneliti semula pertuduhan yang dihadapi kedua-dua anak guam saya berdasarkan fakta semasa.

“Saya failkan representasi hanya terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dihukum di bawah Seksyen 12(3)akta yang sama”, kata Ahmad Zaharil Muhaiyar di hadapan Majisret Ayuni Izzaty Sulaiman.

Ayuni Izzaty menetapkan 5 Mei depan untuk pengurusan kes.

Dalam prosiding itu juga, Zamani, 43, daripada Kumpulan Slam dan Nur Juliana, 32, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan yang dibacakan kepada mereka.

Mereka didakwa bersama-sama memiliki dadah jenis heroin dengan berat bersih 0.60 gram di No 31, Jalan Enggang Timor Satu, Taman Keramat di sini, pada jam 12.30 pagi, 21 Jan tahun lepas.

Nur Juliana juga didakwa mengambil dadah jenis Methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini, pada pukul 2.05 pagi pada tarikh sama.

Sementara itu bagi pertuduhan mengambil dadah jenis morfin di IPD Ampang Jaya pada jam 2 pagi pada tarikh sama, Zamani mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Bagi pertuduhan memiliki dadah, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dandibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda RM100,000atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan mengambil dadah, mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Ahmad Zaharil berkata beliau berharap Peguam Negara dapat menimbang semula pertuduhan terhadap Zamani antaranya mengambil kira keadaan positif anak guamnya yang semakin pulih sejak mendapat rawatan di sebuah pusat pemulihan dadah selain penyanyi itu sedang mengalami sakit belakang yang memerlukan rawatan perubatan. — Bernama

Advertisement