Anda di sini

Pegawai pemproses maklumat mahir pintas perbualan telefon

Advertisement

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu pegawai pemproses maklumat Unit Pintasan Komunikasi Cawangan Khas, Bukit Aman  mahir dalam memintas perbualan telefon.

Pegawai penyelaras unit itu ASP Muhammad Fauzairi Jaidin berkata anggotanya perlu menghadiri kursus enam bulan mendengar perbualan telefon seperti yang ditetapkan Polis Diraja Malaysia.

“Apabila pegawai pemproses maklumat melaporkan diri di unit pintasan komunikasi, mereka juga masih menerima bimbingan sehingga mereka benar-benar mahir dan boleh berdikari sendiri dalam tugas,” katanya dalam pemeriksaan balas oleh peguam Abdul Gani Zelika.

Beliau memberi keterangan dalam perbicaraan ke atas 30 individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan insiden pencerobohan kumpulan bersenjata Sulu di Kampung Tanduo di Lahad Datu, dua tahun lepas.

Muhammad Fauzairi berkata pemproses maklumat juga dilatih untuk mengecam suara seseorang melalui telefon.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tugas sedemikian (mengecam suara) memerlukan suatu tempoh masa dan beberapa perbualan telefon yang dipintas.

“Pada peringkat awal, pegawai pemproses maklumat biasanya mengambil masa untuk mengecam pengguna nombor sasaran.

“Dalam tempoh tersebut (peringkat awal pintasan komunikasi), perkataan yang biasa digunakan (sebagai rujukan pengguna talian telefon yang disasarkan) ialah ‘dipercayai’,” katanya.

Berhubung pintasan komunikasi ke atas seorang suspek yang didakwa sebagai tertuduh Abdul Hadi Mawan yang dibicarakan sebagai seorang rakyat Malaysia dalamkes ini, pegawai SB itu berkata selepas empat perbualan telefon, pengguna nombor telefon 011-25259482 yang disasarkan itu dikenali sebagai ‘Pak Edi’.

“Pada penghujung perbualan bilangan keempat dalam ID476 (dokumen pintasan komunikasi ke atas Abdul Hadi), pemanggil iaitu seorang wanita ada menggelar pengguna talian tersebut (011-25259482) dengan panggilan ‘Pak Edi’.

“Maka, pada bilangan kelima dalam ID476, nama pengguna talian diletakkan sebagai ‘Edi’ sehingga tiada panggilan (dari nombor telefon itu) dikesan,”katanya.

Muhammad Fauzairi bersetuju dengan Abdul Gani bahawa pemproses maklumat itu tidak tahu siapa sebenarnya yang menggunakan nombor itu seperti dalam empat item pertama dokumen itu.

Namun apabila sasaran dikenali sebagai ‘Edi’ dalam perbualan telefon keempat, nama itu kemudian disebut dalam perbualan berikutnya berdasarkan nadasuara yang sama dalam perbualan telefon sebelum itu, katanya.

Menjawab satu soalan Abdul Gani, saksi itu berkata berdasarkan perbualan telefon yang dipintas itu, ‘Edi’ nampaknya kenal individu yang dikenali sebagai  ‘Abraham’ yang namanya juga disebut oleh mereka yang menjadi sasaran pintasan komunikasi yang dikaitkan dengan pencerobohan itu.

Bagaimanapun, peguam itu berkata Abraham dirujuk oleh sasaran yang lain sebagai seorang rakyat Filipina yang berada di Filipina, manakala individudengan nama sama seperti yang dinyatakan dalam pemintasan komunikasi ke atas Abdul Hadi, adalah seseorang yang berada di sebuah kampung dikenali sebagai Kampung Batu.

“Saya tidak tahu butirannya. Tetapi maklumat sedemikian (sebutan nama ‘Abraham’ dalam pintasan komunikasi) amat membantu pegawai koordinasi operasi dalam menjalankan siasatannya,” katanya. — Bernama

Advertisement