Anda di sini

I.E.M FC tundukkan Borneo Island pada aksi K-League

Advertisement

KUCHING: Jaringan kilat Hazikmal Marzuki pada minit ke-4 dan Mohamad Zubir pada minit ke-13 memastikan I.E.M. FC mencatat kemenangan pertama dalam kempen K-League 2015 dengan menewaskan Borneo Island FC di Padang C semalam.

Kemenangan itu cukup melegakan pengendalinya Ibrahim Mantali yang amat mendambakan tiga mata penuh selepas kecundang pada perlawanan pertama.

I.E.M. FC memperaga permainan kemas pada babak pertama dengan melancar deretan serangan berbahaya ke kubu Borneo Island sebaik wisel dibunyikan.

Hasilnya penyerang berbahaya Hazikmal berjaya meledak gol pertama pada minit ke-4.

Jaringan itu membangkitkan semangat pemain I.E.M. untuk terus mengasak kubu lawan sehingga gol kedua menyusul hasil jaringan Zubir pada minit ke-13.

Perlawanan sedikit panas ekoran beberapa keputusan kurang memuaskan daripada pengadil.

Namun, ia tidak memadam hasrat kedua-dua pasukan untuk memburu jaringan. Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan.

“Syabas kepada pemain kerana berjaya memberikan aksi yang cukup baik meskipun kebanyakan daripada mereka adalah muka baharu.

“Kemenangan ini sangat penting namun saya akui banyak lagi yang perlu kita perbaiki untuk mengharungi perlawanan mendatang,” ujar Ibrahim ketika diminta mengulas perlawanan itu semalam.

Petang ini, dua lagi perlawanan akan berlangsung melibatkan DLFC dan JPAM SJN FC (2.30 petang) dan MARR SC menentang Petra Giant (4.30 petang).

Manakala esok turut berlangsung dua aksi antara juara bertahan DBKU berdepan FC BROOKE (2.30 petang) disusuli pertemuan antara OBYU REALTY dan RIAZ FC.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang tiba di sini esok untuk menyertai program Fit Malaysia akan merasmikan pembukaan K-League 2015 pada jam 2 petang bertempat di Padang C.

Advertisement