Anda di sini

Hadiah kepada juara Piala 1Malaysia ditambah: YR1M

Advertisement

Oleh Mahathir Haroun //

BANGI: Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) semalam mengumumkan tambahan hadiah kepada juara Kejohanan Bola Sepak Piala 1Malaysia.

Dengan bertemakan ‘Bukan Sekadar Piala,’ juara berpeluang menghadiri kem bola sepak Piala 1Malaysia-Pengalaman Kampus Yayasan Real Madrid.

Sebagai tambahan, YR1M juga mengumumkan Anugerah Fair Play yang mana pasukan yang memenanginya berpeluang menghadiri Pengalaman Kampus.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YR1M Ung Su Ling, kejohanan itu bukan sekadar merebut piala kerana pemain terlibat turut berpeluang meningkatkan pembangunan diri menerusi pelbagai siri ceramah karier.

“Kita boleh lihat, program yang diselitkan sepanjang kejohanan ini bukan hanya sekadar untuk memenangi trofi tetapi banyak perkara lain didedahkan kepada pemain,” ujarnya.

Beliau berkata, objektif kejohanan dianjurkan sudah jelas menekankan kepada pembangunan holistik pemain ke arah karier profesional.

“Dengan memperkenalkan Anugerah Fair Play dan Piala 1Malaysia-Pengalaman Kampus Yayasan Real Madrid, kita menekankan nilai murni dalam kalangan pemain,” ujarnya.

Ung menambah, Pengalaman Kampus merupakan kem lima hari yang dikendalikan Yayasan Real Madrid yang menggabungkan bola sepak dan pendidikan.

“Dalam latihan bola sepak, pemain muda akan belajar mengenai nilai yang diterapkan Real Madrid kepada masyarakat termasuk kerja berpasukan, kepimpinan, menghormati, autonomi dan kerja keras,” jelasnya.

Menurutnya lagi, Yayasan Real Madrid amat teruja untuk bekerjasama dengan YR1M kerana sasaran kedua- dua pihak sama terutama dalam pembangunan belia.

“Mereka (Yayasan Real Madrid) turut berhasrat untuk membantu belia Malaysia mempelajari nilai Real Madrid terutama dalam kejohanan dan impak positif yang dapat diterapkan kepada masyarakat,” kata Ung.

Advertisement