Anda di sini

KKR Axis tunjuk taring sebenar

Advertisement

KUCHING: KKR Axis mula menunjukkan taring sebenar dalam kempen K-League 2015 selepas meratah KSK Satok 4-0 dalam perlawanan kedua berlangsung di Padang C semalam.

Ia adalah kemenangan kedua Axis untuk memastikan mereka selesa di puncak carta liga setakat ini dengan enam mata.

Keempat -empat gol Axis dijaringkan pada separuh masa pertama dengan ayam tambatan mereka, Mohd Hafiz Abu Bakar (Bulu) meledak dua gol pada minit ke-7 dan 34.

Manakala dua lagi gol disumbangkan penyerang berusia 18 tahun, Nazarudin Bohri pada minit ke-16 dan 22.

Dominasi Axis diteruskan pada separuh masa kedua menyaksikan mereka berpeluang menambah beberapa lagi gol namun dihampakan oleh palang gol dan penjaga gol KSK Satok.

KSK Satok yang terdesak mencari jaringan untuk merapatkan kedudukan sering melancarkan beberapa serangan berbahaya pada babak kedua.

Namun, ketumpulan penyudah menghampakan niat KSK Satok untuk menyaingi kehebatan Axis.

Petang ini berlangsung satu lagi perlawanan melibatkan Borneo Island FC menentang I.E.M. FC pada jam 4.15 petang bertempat di Padang C.

Manakala esok, dua perlawanan akan berlangsung di antara DLFC dan JPAM SJN FC (2.30 petang) dan MARR SC menentang Petra Giant (4.30 petang).

 

Advertisement