Anda di sini

Belawai, Mukah buka tirai Piala Kaul Mukah

Advertisement

Kejohanan edisi kedua janjikan saingan sengit, tawar habuan RM21,000

Oleh Bryan Bell //

MUKAH: Pasukan dari Daerah Belawai dan Mukah dalam Kumpulan B akan bertarung pada perlawanan pembukaan Piala Kaul Mukah Edisi Kedua di Padang Mesra Mukah Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) pada jam 7.30 pagi, 11 April ini.

Manakala pada sebelah petang hari tersebut, dua lagi pasukan dalam kumpulan sama iaitu pasukan Daerah Oya dan Daerah Matu akan beraksi mulai jam 3.30 petang di venue sama.

Jurucakap Jawatankuasa Pengelola Royston Valentine berkata, lapan pasukan yang mewakili daerah masingmasing dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B pada cabutan undi dan taklimat kejohanan tersebut petang semalam.

Royston berkata, pasukanpasukan dalam Kumpulan A terdiri daripada Daerah Dalat (juara bertahan kejohanan edisi pertama 2014), Daro, Igan dan Balingian.

Pasukanpasukan dalam Kumpulan B pula terdiri daripada pasukan tuan rumah Daerah Mukah, Belawai, Oya dan Matu.

Pada keesokannya, Ahad 12 April pasukan-pasukan dalam Kumpulan A pula akan beraksi yang mana pada sebelah pagi pasukan Daro melawan Igan dan sebelah petangnya, Dalat bertemu Balingian.

Lapan perlawanan lain bagi kedua-dua kumpulan akan berlangsung pada 18 dan 19 April.

Perlawanan separuh akhir pertama pula bakal berlangsung pada jam 7.30 pagi dan separuh akhir kedua pada jam 3 petang Sabtu, 25 April, manakala perlawanan akhir akan diadakan pada Ahad, 26 April disusuli penyampaian hadiah kepada pemenang.

Perlawanan akan diadakan pada setiap hujung minggu sahaja sehingga perlawanan akhir di venue sama.

Ia dianjurkan oleh Jawatankuasa Kaul Mukah 2015 dan Pertubuhan Belia Parlimen Mukah dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Mukah.

Royston menjelaskan, objektif penganjuran kejohanan adalah untuk memeriahkan lagi suasana Pesta Kaul Mukah 2015 dengan pengisian pelbagai aktiviti sihat.

“Untuk penganjuran edisi pertama pada tahun 2014 sempena sambutan Pesta Kaul Mukah 2014, pasukan Daerah Dalat telah menjuarai pertandingan ini apabila menewaskan pasukan Mukah pada perlawanan akhir yang penuh dramatik dengan jaringan 2-1.

“Sepak mula pertandingan dijangka pada 18 April 2015 (minggu kedua pertandingan) dan perlawanan akhir pula dijadualkan pada 26 April 2015,” tambahnya.

Ganjaran wang tunai berjumlah RM21,000 disediakan kepada para pemenang.

Juara akan menerima hadiah wang tunai RM10,000, piala pusingan, piala iringan dan medal, naib juara akan menerima wang tunai RM5,000, piala iringan dan medal, manakala dua pasukan yang menduduki tempat ketiga akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM2,000, piala iringan dan medal.

Selain itu, pasukan yang mewakili daerah dan daerah kecil Bahagian Mukah yang turut serta dan mendapat kedudukan tempat kelima hingga kelapan juga bakal menerima sagu hati wang tunai sebanyak RM500 setiap satu pasukan.

Menurut Royston lagi, pada perlawanan akhir nanti pihak jawatankuasa penganjur akan menawarkan hadiah istimewa berupa sebuah motosikal untuk dimenangi penonton dan peminat bola sepak melalui cabutan bertuah sama seperti tahun lepas.

Beliau merupakan Ahli Parlimen Belia Malaysia (APBM) Negeri Sarawak merangkap penyelaras bersama pertandingan menaruh harapan tinggi agar Bahagian Mukah dapat mengumpul pemain-pemain bola sepak berkualiti sekali gus membentuk pasukan mantap untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.

 

Advertisement