Anda di sini

Tiada bukti sahkan hasil pintasan komunikasi sepadan dengan perbualan sebenar telefon

Advertisement

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa tidak ada bukti untuk mengesahkan sama ada produk pintasan komunikasi berhubung pencerobohan di Lahad Datu sepadan dengan perbualan sebenar telefon yang dipintas oleh Cawangan Khas (SB).

Pegawai Penyelia Unit Pemintasan Komunikasi Cawangan Khas Bukit Aman, ASP Muhammad Fauzairi Jaidin berkata pemproses pintasan komunikasi membuat nota tulisan tangan mengenai kandungan perbualan yang dipintas sebelum menaip nota-nota tersebut pada komputer dan mencetaknya.

Bagaimanapun nota-nota yang ditulis itu telah dilupuskan sebaik sahaja tugasan pemintasan komunikasi selesai, katanya.

Pegawai Cawangan Khas itu memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan pencerobohan oleh kumpulan bersenjata Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu kira-kira dua tahun lepas.

Kepada soalan oleh peguam Datuk N. Sivananthan semasa pemeriksaan balas, saksi itu berkata perbualan telefon yang dipintas boleh dirakamkan tetapi kaedah itu tidak dipraktikkan dalam kes pencerobohan itu.

“Dalam kes ini (pencerobohan Lahad Datu), tiada rakaman dibuat kerana tiada permintaan daripada pegawai terlibat),” kata beliau.

Kepada soalan lain oleh Sivananthan, Muhammad Fauzairi memberitahu mahkamah bahawa unit beliau tidak terlibat secara langsung dalam kes anggota Cawangan Khas Detektif Koperal Hassan Ali Basari, yang disabitkan kerana menyembunyikan maklumat mengenai pencerobohan pada Ogos 2013.

Beliau menjelaskan bahawa sasaran pintasan komunikasi ketika itu bukan Hassan Ali tetapi seorang individu dikenali sebagai ‘Datu Bahang’.

Saksi itu juga berkata beliau tidak pasti sama ada beliau telah membekalkan hasil mana-mana pemintasan komunikasi untuk digunakan pada perbicaraan anggota polis yang disabitkan itu.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung hari ini. — Bernama

 

Advertisement