Anda di sini

KKR Axis mulakan saingan K-League 2015 langkah kanan

Advertisement

KUCHING: Skuad berstatus bintang, KKR Axis memulakan saingan kempen K-League 2015 dengan langkah kanan selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 menewaskan I.E.M FC di Padang C semalam.

Jaringan Mohd Hafiz Abu Bakar pada minit ke-67 sudah cukup memastikan KKR Axis mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan cukup sengit.

Ia berpunca daripada gerakan menarik pemain tengah Axis sebelum Hafiz atau ‘Bulu’ menyambar dan melakukan ‘volley’ cantik menewaskan penjaga gol I.E.M. FC.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi serang-menyerang yang menarik pada babak pertama namun ketumpulan penyudah menghampakan peluang mencari gol awal.

Keputusan itu kekal hingga tamat masa perlawanan meskipun Axis mempunyai deretan peluang menambah jaringan pada babak kedua.

Sementara itu, perlawanan terdahulu di antara Petra Giants FC dan Riaz FC menyaksikan pesta gol dengan kedua-dua pasukan terikat 3-3.

Penyerang Petra Giants, Mohd Affendi Julaihi meletakkan pasukannya selesa di hadapan dengan dua jaringan pada minit kesembilan dan ke-10.

Bagaimanapun, Riaz berjaya kembali menyamakan kedudukan dengan jaringan Abdul Rahman Mohamad pada minit ke-37 dan Epienizam Effendi minit ke-45.

Saingan babak kedua lebih rancak dengan Petra Giant kembali membimbing perlawanan hasil jaringan Ramfazillah Ramlan pada minit ke-89.

Ketika Petra Giant hampir meraikan kemenangan pertama, muncul Mohd Hafiz Mohd Yusoff sebagai pemusnah dengan menyumbat jaringan penyamaan pada minit ke-90 mengikat perlawanan 3-3.

Petang ini, dua lagi saingan berlangsung menyaksikan OBYU Realty menentang Marr SC dan Borneo Island berdepan KSK Satok.

Advertisement