Anda di sini

Peniaga bagi alasan sistem belum dinaik taraf

Advertisement

KUALA LUMPUR: Rata-rata peniaga yang diperiksa dalam Ops Pematuhan GST-Catut semalam memberi alasan sistem mesin jualan mereka masih belum dinaik taraf, kata Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan, S. Manimaran.

Beliau berkata masalah teknikal itu disebabkan kelewatan peniaga mendaftar lebih awal dengan JKDM hingga menyebabkan peniaga belum mendapat sistem baharu yang dipesan daripada pembekal.

“Apabila mesin jualan tidak dinaik taraf, maka resit jualan yang dikeluarkan tidak menyatakan jumlah sepatutnya dan akan mengelirukan pengguna. Mereka sepatutnya menyatakan harga asal pada resit dan kemudian caj GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan).

“Pihak kami mengesan ada peniaga yang masih belum menaik taraf sistem mesin jualan dan memberi alasan tidak rasional iaitu mesin berkenaan mengalami masalah teknikal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai operasi bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengenai pematuhan CBP di sebuah pusat beli-belah di sini.

Manimaran berkata terdapat juga segelintir peniaga yang gagal mempamer tanda harga yang dikenakan di bawah GST pada setiap barangan dan caj perkhidmatan.

“Harga tersebut adalah jumlah harga yang perlu dibayar oleh pengguna. Mengikut Akta CBP 2014, setiap peniaga mesti mempamerkan harga sedemikian bagi mengelak kekeliruan pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna agar menyimpan dan menyemak resit pembelian setiap kali membeli-belah bagi mengelak berlaku manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kuala Lumpur, Rosli Ahmad berkata tujuan utama operasi itu adalah untuk membuat pemeriksaanpematuhan harga dan memastikan tiada kenaikan harga barangan disebabkan pelaksanaan GST.

Beliau memberitahu, melalui operasi itu pegawai telah dipertanggungjawab membuat perbandingan harga jualan sebelum dan selepas pelaksanaan GST di setiap premis yang diperiksa.

Daripada pemeriksaan itu, Rosli berkata hanya sebuah premis didapati menaikkan harga selepas pelaksanaan GST.

“Kita telah mengeluarkan notis kepada premis itu dan pemiliknya diminta supaya tampil ke KPDNKK dalam tempoh tiga hari dari tarikh notis untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu,” katanya.

Ditanya mengenai hukuman yang bakal dihadapi peniaga berkenaan, beliau berkata peniaga yang didapati melakukan kesalahan akan didakwa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya peniaga yang didapati gagal mematuhi peraturan sedia ada boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

“Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda tidak melebihi RM500,000,” katanya. — Bernama

 

Advertisement