Anda di sini

Sertai Pertandingan Media ICT Anugerah Ketua Menteri

Advertisement

KUCHING: Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) dengan kerjasama Pejabat Ketua Menteri mempelawa permohonan daripada wartawan dan penulis di seluruh negeri ini untuk menyertai Pertandingan Media ICT Anugerah Ketua Menteri.

Penganjuran acara tahunan naungan Ketua Menteri Sarawak itu, bertujuan menggalakkan wartawan dan penulis mengenal pasti fungsi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) selain mempromosi kepentingannya kepada perkembangan sosioekonomi negeri, khasnya.

Pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori, iaitu media cetak dan media penyiaran.

Setiap permohonan yang dihantar diterima dalam tiga bahasa iaitu bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan bahasa Cina.

Selain itu, peserta pertandingan harus memastikan artikel atau rencana yang dihantar sama ada bercetak atau bersiaran menerusi radio dan televisyen telah diterbitkan dari Januari 2014 hingga Disember 2014.

Pada tahun ini, hadiah bagi setiap kategori telah meningkat sebanyak RM16,000 untuk dimenangi.

Bagi pemenang terbaik dalam kategori media cetak untuk kesemua bahasa akan menerima hadiah wang tunai RM2,000, RM1,000 dan RM500 berserta sijil penyertaan yang disahkan oleh Ketua Menteri.

Manakala bagi pemenang terbaik dalam kategori media penyiaran pula, hadiah wang tunai adalah RM3,000, RM1,500 dan RM1,000 berserta sijil penyertaan yang disahkan oleh Ketua Menteri.

Pertandingan ini adalah terbuka kepada semua pengamal media (wartawan/editor/pemberita) daripada industri media cetak dan penyiaran dan setiap penyertaan haruslah dihantar selewat-lewatnya 30 Jun 2015.

Setiap penyertaan yang dihantar haruslah dalam bentuk rencana, artikel berita, laporan rencana atau dokumentari yang berkaitan dengan ICT yang telah disiarkan menerusi akhbar, radio atau televisyen tempatan di Sarawak oleh organisasi media berlesen.

Peserta menerusi penyertaan mereka akan dinilai berdasarkan kriteria kualiti jurnalistik, jelas dan imaginatif serta rencana yang sesuai untuk setiap lapisan masyarakat di Sarawak selain memberi impak komunikasi dan meningkatkan pengetahuan dan pemahaman umum mengenai ICT terutama dalam aspek manfaat ekonomi, objektif, kajian yang baik serta sah dan bebas daripada isu politik berat sebelah.

Hakim atau juri pertandingan yang dilantik merangkumi wakil daripada SAINS, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), ICTU, Angkatan Zaman Mansang (AZAM) dan Jabatan Penerangan Negeri.

Penyertaan harus dihantar terus ke alamat: The Secretariat, The Sarawak Chief Minister’s ICT Media Awards, Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS), Tingkat 1, Lot 14878 Stutong Parade, Jalan Setia Raja, 93350 Kuching, Sarawak atau e-melkan penyertaan anda di alamat: [email protected].

Maklumat, syarat penyertaan dan borang boleh dimuat turun menerusi laman sesawang SAINS di www.sains.com.my.

Sesiapa yang berminat mengetahui lanjut mengenai pertandingan ini juga boleh menghubungi Elizabeth Teo  atau Noor Shizarin Isnin di talian 082366499 atau e-mel ke [email protected] atau [email protected].

Advertisement