Anda di sini

Ryan mahu tamatkan kemarau gol

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

Berharap penyokong Sarawak terus memberi peluang kepadanya untuk membuktikan kemampuan

ADA SKIL: Ryan (kiri) memerhatikan pemain pertahanan baharu, Patrick Gerhardt menunjukkan skilnya mengawal bola pada sesi latihan di Padang D kelmarin. Sarawak akan menentang PDRM di Stadium Shah Alam, Selangor malam ini.

KUCHING: Penyerang import Sarawak, Ryan Alan Griffiths mahu menamatkan kemarau golnya dalam kancah Liga Super musim ini ketika Sarawak menjadi tetamu PDRM di Stadium Shah Alam, malam ini.

Kapten skuad Ngap Sayot itu juga berharap penyokong terus memberi peluang kepadanya untuk membuktikan kemampuan selepas gagal meledak sebarang gol dalam lima perlawanan liga setakat ini.

“Saya tidak bimbang dengan prestasi semasa saya. Ketika mula menyertai Sarawak pada musim lalu, saya juga tidak menjaringkan gol dalam empat perlawanan awal.

“Namun, selepas itu prestasi saya terus meningkat dan berjaya menjaringkan gol dalam beberapa perlawanan penting untuk membantu Sarawak,” katanya di sini semalam.

Menurut Ryan, kegagalannya untuk menjaringkan gol setakat ini bukan berpunca daripada masalah keserasian dengan seorang lagi penyerang import Sarawak, Billy Mehmet.

“Saya tiada masalah dengan Billy (Mehmet), malah kami semakin serasi mengemudikan jentera serangan Sarawak cuma peringkat awal saya akui perlu mencari rentak kerana beliau pemain baharu.

“Penyokong juga perlu sedar kadangkala jurulatih meletakkan saya di posisi tengah. Justeru itu, amat menghadkan peluang saya untuk menjaringkan gol,” katanya.

Pemain kelahiran Australia itu menambah apa yang penting baginya adalah untuk membantu rakan-rakan sepasukan menjaringkan gol bagi memastikan Sarawak beroleh kemenangan.

“Sudah tentu saya mahu menjaringkan gol dan kalau boleh pada setiap perlawanan. Cuma masa untuk melakukannya belum tiba.

“Saya telah memberikan komitmen sepenuhnya kepada Sarawak pada setiap perlawanan dan bagi saya itu lebih penting,” ujar beliau.

Sementara itu, pengendali Sarawak Robert Alberts mahu semua pemainnya mengekang pergerakan penyerang PDRM terutamanya pemain dari Mali, Dramane Traore yang merupakan penjaring terbanyak setakat ini dengan tujuh gol.

“PDRM mempunyai jentera serangan yang cukup mantap dan berbahaya, justeru mereka pasti merancang sesuatu untuk memburu kemenangan pada perlawanan itu nanti.

“Namun, semua pemain kita juga cukup bersedia dan tidak akan memberi laluan mudah kepada pasukan lawan,” katanya di sini semalam.

Alberts juga percaya anak-anak buahnya mampu bangkit dan menjadikan perlawanan malam ini sebagai penebus kekecewaan selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut sebelum ini.

Barisan kemungkinan malam ini Joseph Kalang Tie, Ryan Griffiths, Billy Mehmet, Patrick Gerhardt, Ivan Fatic, Hairol Mokhtar, Shahrol Saperi, Ashri Chuchu, Mohd Fadzley Abdul Rahim, Rames Lai Ban Huat dan Shreen Tambi.

Advertisement