Anda di sini

Perjuangan perseorangan lelaki Terbuka Malaysia berakhir

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kemaraan Malaysia tamat dalam acara perseorangan lelaki apabila satu-satunya pemain harapan negara Zulfadli Zulkifli tewas dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini kelmarin.

Zulfadli, 22, tewas mudah kepada pemain China, Tian Houwei 5-21 dan 7-21 dalam perlawanan yang mengambil masa 33 minit.

Juara remaja dunia 2012 itu beraksi cemerlang dalam pusingan pertama kelayakan semalam dengan menewaskan lawannya Saatawat Pongnairat dari Amerika Syarikat 21-12 dan 21-8 pada pusingan pertama, sebelum mengalahkan Fikri Ihsandi Hadmadi dari Indonesia 23-21 dan 21-14 di pusingan kedua kelayakan.

“Saya main sangat-sangat tidak baik hari ini. Mungkin saya sudah penat dengan perlawanan semalam walaupun saya menang dua-dua perlawanan straight set tapi dalam masa agak panjang. Mungkin saya banyak habiskan tenaga semalam,” katanya.

Beliau yang ternyata kecewa dengan permainan hari ini mengakui lawannya dari China itu mempunyai kelebihan dan lebih bertenaga apabila berada di dalam undian utama dan hanya tampil beraksi semalam.

“Dia lebih segar dan banyak tenaga yang masih tersimpan. Sedangkan saya sudah main dua perlawanan, saya tidak puas hati dari segi fizikal sebab saya penat dan proses pemulihan tenaga tidak mencukupi,” katanya.

Zulfadli yang bergerak secara persendirian di bawah kendalian ayahnya Zulkifli Sidek, kini merangka siri latihan untuk memperkuatkan lagi fizikal dan daya tahan di samping membuat gerakan lebih pantas bagi membolehkan beliau menandingi atau sekurang-kurangnya setaraf dengan pemain lain dalam kejohanan siri super.

Dalam pada itu, Zulfadli turut melahirkan rasa terkilan dan mahu melupakan episod luka hari ini dan meneruskan persediaan bagi menghadapi Siri Super Terbuka Singapura minggu depan.

“Saya tahu memang hari ini saya seorang harapan negara. Selalunya rakyat Malaysia bergantung kepada Datuk Lee Chong Wei tapi dia tidak ada. Saya minta maaf kepada semua peminat sukan badminton. Saya tahu saya adalah perseorangan terakhir dalam kejohanan ini tapi saya tidak mampu buat yang lebih baik. Tapi saya janji akan bangkit semula dengan mempertingkatkan lagi latihan,” katanya.

Katanya, misi sekarang adalah untuk mengutip sebanyak mata yang mungkin bagi membolehkan dirinya menempah slot ke Sukan Olimpik 2016 dan memperbaiki ranking dunia.

Zulfadli yang kini berada di ranking ke-48 dunia dalam pada itu menyimpan hasrat untuk melihat rakan-rakan seperjuangan dalam perseorangan lelaki negara bangkit untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Chong Wei.

Katanya, sudah tiba masa kepada pemain-pemain muda mempamerkan prestasi serta berusaha gigih untuk sama-sama mengangkat sukan badminton negara sepertimana yang pernah dilakukan oleh Chong Wei.

“Kita tidak boleh berharap pada Datuk Lee Chong Wei lagi. Jadi, kita yang muda-muda ini kena tingkatkan diri untuk lakukan sesuatu untuk sukan badminton kita.  Sudah waktu untuk pemain muda tampil ke depan,” katanya.

Tanpa kelibat Chong Wei dan pemain perseorangan lelaki negara yang lain seperti Liew Daren, Chong Wei Feng, Goh Soon Huat dan Mohamad Arif Abdul Latiff, Kejohanan Siri Super Premier ini dikuasai jaguh badminton dunia seperti dua pemain China Lin Dan dan Cheng Long, serta pemain Denmark Jan O Jorgensen yang masing- masing memburu gelaran pertama di Terbuka Malaysia.  — Bernama

Advertisement