Anda di sini

Pelan lima tahun pertingkat jalan DBKU

Advertisement

Oleh Agnes Tugong //

Tumpuan akan diberikan untuk menaik taraf jalan kategori dua dan tiga: Datuk Bandar

LAWATAN: Abang Wahap (kanan) melawat tapak kerja-kerja penurapan jalan raya oleh DBKU di Jalan Green, Kuching semalam.

KUCHING: Kerja-kerja penurapan jalan dalam kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan dipertingkatkan melalui perancangan lima tahun mulai tahun ini.

Di bawah perancangan itu, DBKU menyasarkan keseluruhan 760 kilometer (km) jalan raya dalam kawasan pentadbirannya akan diturap kepada kategori satu (baik) dalam tempoh tersebut.

Menurut Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai daripada 760km jalan raya dalam pentadbiran DBKU, 235km daripadanya kini dalam kategori satu.

Manakala, 350km dan 175km lagi masing-masing dalam kategori dua (rosak) dan kategori tiga (sangat rosak) yang mana perlu diberi perhatian dalam perancangan itu.

“Dalam usaha untuk menaik taraf kesemua jalan raya kepada kategori satu, DBKU merangka pelan khusus dalam memantau, menyelenggara dan menaik taraf jalan raya dalam pentadbiran DBKU.

“Menerusi pelan khusus ini, DBKU akan memastikan keseluruhan jalan raya sepanjang 760km dalam kawasan pentadbiran DBKU akan dinaik taraf kepada kategori satu yang mana bukan sahaja baik dari segi permukaan, tetapi juga aspek lain seperti perparitan, landskap dan aspek-aspek lain yang berkaitan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada taklimat bersama media di sebuah restoran di sini semalam selepas lawatan ke tapak kerja-kerja penurapan jalan di Jalan Green di sini.

Mengulas lanjut mengenai perancangan lima tahun itu, Abang Abdul Wahap berkata ia merupakan kesinambungan daripada rangka pelan lima tahun oleh DBKU dari tahun 2011 hingga 2015.

Perancangan kerja-kerja penurapan jalan raya dalam kawasan pentadbiran DBKU dilaksanakan melalui sistem yang dikenali sebagai Sistem Zon yang dibahagikan kepada 28 zon, jelasnya.

Zon-zon ini bermula dengan Zon 1 Astana dan seterusnya Bako, Batu Lintang, Bukit Siol, Damai, Demak Height, Demak Jaya, Demak Laut, Golden Triangle, India Street, Kesuma, Kampung Demak, Kubah Ria, Laruh Scheme, Main Bazaar, Medan Raya, Patinggan, Pinang Jawa, Satok, Semariang, Semariang Batu, Sungai Maong, Siol Kandis, Sri Wangi, Stadium, Sukma, Taman Budaya dan Tupong.

Selain sistem zon, katanya, perancangan kerja-kerja penurapan jalan raya selama lima tahun dalam kawasan pentadbiran DBKU juga memfokuskan kepada dua kategori jalan iaitu kategori dua dan tiga.

Pada tahun 2014, jelasnya, DBKU telah melaksanakan kerja-kerja penurapan jalan raya kategori dua dan tiga sepanjang 567km di 13 zon iaitu Bako, Bukit Siol, Demak Height, Demak Laut, Kampung Demak, Medan Raya, Pinang Jawa, Satok, Semariang, Semariang Batu, Sungai Maong, Sukma dan Tupong.

Manakala untuk tahun ini, tambahnya, perancangan kerja-kerja penurapan jalan raya dalam kawasan pentadbiran DBKU sehingga Jun akan dilaksanakan sepanjang 23km merangkumi Zon Astana, Bukit Siol, Pinang Jawa, Satok, Semariang, Semariang Batu, Taman Sri Wangi dan Medan Raya.

Advertisement