Anda di sini

Kes wanita China meninggal dunia ditutup

Advertisement

Oleh Michael Ubam //

Bedah siasat terhadap mayat Leong mendapati kematiannya akibat serangan jantung

SIBU: Kes berhubung seorang pelancong wanita warga China  ditahan polis bagi membantu siasatan satu kes tipu Khamis lalu kini ditutup.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Mohd Kamal Kordi berkata polis tidak meneruskan siasatan kes tersebut kerana Leong Ai Ting, 63, berasal dari Wilayah Fujian meninggal dunia selepas dihantar ke Hospital Sibu.

“Siasatan kes tersebut telah pun ditutup kerana warga asing berkenaan sudah meninggal dunia,” katanya di sini semalam.

Katanya, bedah siasat terhadap mayat Leong yang dilakukan oleh pihak hospital mendapati kematian mangsa disebabkan serangan jantung.

“Polis tidak dapat meneruskan siasatan kes tersebut kerana mangsa meninggal dunia semasa kes dalam siasatan,” jelasnya.

Menurutnya, mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung dan keputusan bedah siasat menunjukkan punca kematian mangsa sememangnya akibat serangan jantung dan bukan sebaliknya.

Leong dihantar ke Hospital Sibu jam 6.30 petang itu telah disahkan meninggal dunia jam 9 malam semasa menerima rawatan di Unit kecemasan dan Trauma.

Difahamkan mangsa pernah menjalani pembedahan jantung tiga tahun lalu.

Terdahulu, mangsa didapati pengsan ketika proses siasatan dijalankan.

Sebelum insiden tersebut, mangsa bersama suaminya, Yi Jian Long, 61, menginap di sebuah hotel bajet Jalan Kampung Nyabor dan sering berkunjung ke bandar ini sejak 10 tahun lalu.

Mohd Kamal berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung kes tipu melibatkan kerugian kira-kira RM200,000 kepada seorang pengadu wanita warga tua tempatan.

Mengikut laporan pengadu, 68, beliau dipercayai ditipu tiga wanita tidak dikenali dipercayai warga asing dari China.

Kes tersebut dilaporkan pada 25 Mac lalu dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Advertisement