MIRI: Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) dengan kerjasama Kelab Sukan Rekreasi Piasau Link menganjurkan Kejohanan Futsal Piala Sarawak KPS 2015 dijadualkan berlangsung pada 8 hingga 10 Mei depan.
Kejohanan itu akan diadakan di Stadium Tertutup Miri dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu lelaki dan wanita serta dibuka kepada semua kelab sukan futsal, sama ada agensi kerajaan, swasta mahupun institusi pendidikan.
Juara kategori lelaki bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 serta piala, naib juara memenangi RM500 dan piala manakala tempat ketiga dan keempat masing-masingnya menerima hadiah wang tunai RM200.
Manakala bagi kategori wanita, juara menerima hadiah wang tunai RM400 serta piala, naib juara menerima wang tunai RM300 serta piala manakala tempat ketiga dan keempat masing-masingnya menerima hadiah wang tunai RM150.
Syarat-syarat dan peraturan kejohanan dinyatakan dengan jelas dalam borang penyertaan dan pasukan berminat mengambil bahagian kejohanan ini boleh mendapatkan borang penyertaan dari kedai City Sports Miri, KSPL Miri (Little Laundry) dan Pusat Belia Miri.
Setiap borang dikembalikan perlu disertakan bersama dengan yuran pendaftaran RM150 bagi kategori lelaki dan RM100 untuk kategori wanita.
Tarikh tutup penyertaan pada 6 Mei depan dan mesyuarat pengurusan serta cabutan undi diadakan pada hari sama (6 Mei), jam 7 malam di bilik mesyuarat Pejabat Pembangunan Sosial Miri di Bangunan Pusat Belia di sini.
Bagi sebarang pertanyaan berhubung kejohanan ini boleh menghubungi Ramzi Shahdan di talian 012-8781629 atau Zairul Azhar Sabri di talian 010-5222612 atau 085-419624 pada waktu pejabat.