Anda di sini

Isu pembangunan Sabah, Sarawak tumpuan sidang Dewan Rakyat

Advertisement

Wakil rakyat mahukan komitmen Persekutuan terus bawa pembangunan

KUALA LUMPUR: Isu pembangunan di Sabah dan Sarawak menjadi antara perkara dominan yang dibincangkan oleh kalangan ahli Parlimen sepanjang tiga minggu persidangan Dewan Rakyat.

Berdasarkan analisis Bernama, antara 205 perkara yang dibincangkan mengenai kedua-dua negeri itu, soal infrastruktur membabitkan 24 peratus, keselamatan (16 peratus), kewangan (14 peratus), pendidikan (13 peratus) dan kesihatan (sembilan peratus).

Rata-rata wakil rakyat yang membincangkan perkara itu mahukan komitmen kerajaan Persekutuan untuk terus membawa agenda pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik, pendidikan, kesihatan dan Internet ke kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak bagi meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.

Pemerhatian Bernama mendapati ahli Parlimen daripada kedua-dua negeri itu begitu aktif sekali menyuarakan harapan dan keinginan rakyat yang mereka wakili pada persidangan yang bermula 9 Mac.

Isu keselamatan yang dibangkitkan pula membabitkan aspek keselamatan di sempadan termasuk pencerobohan militan dan soal pendatang asing tanpa izin.

Di samping itu, kejadian banjir teruk yang melanda negara Disember tahun lepas juga mendapat perhatian ahli Parlimen daripada kedua-dua belah blok.

Berdasarkan pemerhatian, kira-kira 160 perkara berkaitan banjir dikemukakan ahli Parlimen, dengan UMNO merupakan parti paling banyak berbincang mengenai banjir diikuti PAS, DAP dan PKR.

Fokus perbincangan mengenai banjir termasuk berhubung soal agihan bantuan banjir, garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan banjir dan perancangan kerajaan pusat dalam membantu pemulihan banjir di negeri-negeri terjejas bencana alam itu.

Lima menteri yang paling banyak diajukan soalan mengenai banjir ialah Perdana Menteri, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Menteri Kesihatan dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Di samping itu, soal jenayah siber, penyalahgunaan media sosial dan perkara-perkara berkaitan hasutan turut menghangatkan perbincangan wakil-wakil rakyat daripada kedua-dua blok.

Pada keseluruhannya, wakil rakyat daripada UMNO dilihat paling aktif mengambil bahagian dalam perbincangan, diikuti rapat oleh DAP, PKR, PAS dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Rumusan turut mendapati soalan paling banyak dikemukakan pada sesi itu ditujukan kepada Perdana Menteri dengan 569 daripada 2,370 soalan, diikuti Menteri Kewangan (241), Menteri Dalam Negeri (227), Menteri Pendidikan (167) dan Menteri Kesihatan (128). — Bernama

Advertisement