Anda di sini

Guna saluran tepat buat aduan GST

Advertisement

Jangan harap penyelesaian dapat dibuat melalui media sosial: Kastam

RUNGKAI KEKELIRUAN: Sarip menjawab soalan berhubung satu resit aduan pengguna yang menimbulkan keraguan kerana resit yang ditulis tangan turut mengenakan caj Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ketika membuat pemantuan di sebuah pasar raya pada hari kedua pelaksanaan GST di Kuantan semalam. Turut hadir Sharuddin (dua kiri). — Gambar Bernama

KUANTAN: Pengguna perlu menggunakan saluran tepat bagi menyampaikan aduan atau masalah berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tanpa mengharapkan penyelesaian dapat dibuat melalui media sosial, kata Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang Datuk Sarip Ismail.

Beliau berkata tidak dinafikan peranan yang dimainkan oleh media sosial banyak membantu dalam memberi penerangan tentang GST, namun aduan itu tidak akan menemukan jalan penyelesaikan tanpa merujuk kepada pihak yang bertanggungjawab.

Mungkin kekeliruan tentang GST akan bertambah rumit setelah mendapat reaksi dan penerangan yang kurang tepat mengenai pelaksanaannya dalam laman sosial, katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu Anti-Pencatutan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sini semalam.

Beliau meminta orang ramai membuat rujukan serta mendapatkan maklumat yang tepat melalui saluran yang betul bagi mengelak kekeliruan atau melayari laman sesawang JKDM untuk rujukan atau menyampaikan maklumat.

Sebarang aduan dan maklumat yang diterima membolehkan pihaknya mengambil tindakan lebih cepat berbanding penyebaran yang diterima melalui media sosial, katanya.

Pengarah KPDNKK Pahang Sharuddin Jali yang turut serta dalam operasi itu berkata KPDNKK Pahang telah menerima sebanyak 30 aduan daripada orang ramai termasuk harga kad tambah nilai prabayar yang dikenakan GST sedangkan ia tidak sepatutnya dikenakan GST.

Katanya, KPDNKK Pahang telah membuka Bilik Gerakan Anti-Pencatutan bagi sebarang aduan mengenai GST melalui talian 09-5732117.

Di ALOR SETAR, KPDNKK Kedah menerima sebanyak 12 aduan berhubung  kenaikan harga barang seperti susu, tepung dan kad tambah nilai prabayar sejak GST dilaksanakan kelmarin.

Pengarahnya Mohamad Fitri Hassan berkata pihaknya semalam juga mengeluarkan dua notis bagi  kesalahan di bawah Akta Timbang Sukat (ATS) 1972 dalam pemeriksaan di Alor Setar dan Sungai Petani, menjadikan empat notis dikeluarkan sejak dua hari pelaksanaan GST.

“Dua notis telah dikeluarkan …kompaun sebanyak RM100 setiap satu notis,” katanya dalam kenyataan semalam.

Di ARAU, KPDNKK Perlis mendapati segelintir peniaga mengenakan GST pada barangan yang tidak sepatutnya dikenakan cukai itu kerana mendakwa tidak faham dan keliru.

Pengarahnya Khairul Amin Talib yakin situasi itu dijangka berubah dalam masa dua minggu lagi.

KPDNKK negeri menerima tiga aduan membabitkan enam peniaga yang didakwa enggan menjual kad tambah nilai kerana mendakwa keliru sama ada ia dikenakan GST atau tidak, katanya kepada pemberita selepas Operasi Pematuhan GST bersama-sama JKDM Perlis di sini, semalam.

Ketua Penguat Kuasa JDRM Perlis, Abdul Rashid Embong berkata pengusaha restoran dibenarkan mengeluarkan resit yang ditulis tangan untuk mengenakan GST dengan syarat ada cetakan nombor GST pada resit tersebut.

DI SEREMBAN, KPDNKK Negeri Sembilan menerima 47 aduan berkaitan dengan  antipencatutan iaitu 28 aduan kelmarin dan semalam sebanyak 19 aduan setakat jam 1petang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan  Kepenggunaan negeri Datuk Abu Ubaidah Redza berkata kebanyakan aduan yang diterima KPDNKK adalah mengenai pembelian kad tambah nilai prabayar telefon yang dikenakan GST dan kenaikan harga barang.

“Sebanyak 12 notis telah dikeluarkan sepanjang dua  hari pelaksanaan GST … KPDNKK dan JKDM  akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan peniaga mematuhi pelaksanaan GST.

“Di samping itu juga, kami memohon orang ramai untuk memberi maklumat berkenaan  kenaikan harga barangan,” katanya kepada pemberita selepas membuat operasi pematuhan pelaksanaan GST/Pencatutan di pasar raya Family Store, Sikamat di sini, semalam. Turut hadir Pengarah KPDNKK Negeri Sembilan Mohd Salleh Ma’amor. — Bernama

Advertisement