Anda di sini

GST: KPDNKK Sarikei terima empat aduan orang ramai

Advertisement

PANTAU: Jabatan Kastam dan KPDNKK Sarikei menjalankan pemeriksaan berkaitan dengan pelaksanaan GST.

SARIKEI: Sejak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berkuat kuasa seluruh negara kelmarin, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarikei menerima sebanyak empat aduan daripada orang ramai sehingga tengah hari semalam.

Penolong Pegawai Penguat kuasa KPDNKK Sarikei, Mohd Tamizi berkata empat daripada aduan itu dilaporkan secara terus ke pejabat KPDNNK Sarikei melibatkan kad prabayar telefon dan kenaikan harga barangan di beberapa kedai serbaguna di sini.

“Berdasarkan aduan tersebut, kita mengadakan pemantauan di lokasi terbabit memastikan apa yang berlaku dapat diatasi dengan berkesan terutama mengelak berlakunya sebarang bentuk manipulasi di luar konsep pelaksanaan GST.

“Sehubungan itu, kita memohon orang ramai selaku pengguna harus peka dengan hak yang ada pada mereka.

“Contohnya, sewaktu mereka membeli barangan di mana-mana premis dan pemilik premis terbabit mengatakan setiap barangan dikenakan GST, mereka harus meminta resit pembelian yang sah.

“Sekiranya premis terbabit enggan mengeluarkan resit pembelian, pengguna berhak menggunakan hak mereka dengan mengabaikan pembelian tersebut,” katanya ditemui ketika mengadakan pemantauan di bandar ini bersama pasukan Kastam Diraja Malaysia Cawangan Sarikei, semalam. Menurutnya, sekiranya pengguna berhadapan situasi terbabit mereka harus bertindak melaporkan kepada jabatan berkaitan seperti KPDNKK dan Kastam bagi memastikan pihak yang tidak bertanggungjawab dapat diambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Penguat Kuasa Kastam Diraja Malaysia Sarikei, Awangko Shahbuddin berkata sehingga setakat ini kebanyakan peniaga di bandar ini memberi sokongan dalam pelaksanaan GST.

“Masa kini, kita sifatkan berada pada proses peralihan sistem dan kebanyakan kekeliruan mudah berlaku.

“Oleh faktor itu, kita mohon masyarakat selaku pengguna mengambil langkah bijak memastikan masalah itu tidak berlaku dengan mendapatkan penerangan sewajarnya.

“Mendapatkan sumber maklumat daripada pihak tidak berkaitan menyebabkan kekeliruan terus membelenggu pada pengguna,” jelasnya.

Awangko berkata, operasi pemantauan GST diadakan seluruh negara sehingga 15 April ini.

Sehubungan itu, maklumat dan kerjasama orang ramai diperlukan agar pelaksanaan GST berada pada landasan dan memberi impak positif kepada orang ramai.

Advertisement