KUCHING: Dua perenang sensasi Sarawak, Welson Sim dan Erika Kong terpilih mewakili Malaysia pada Kejohanan Dunia FINA di Kazan, Rusia dari 24 Julai hingga 9 Ogos depan.
Perenang Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu menempah slot ke kejohanan berprestij itu selepas berjaya melepasi masa kelayakan pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-58 di Pusat Akuatik Kebangsaan, Kuala Lumpur minggu lalu.
Welson menggondol tiga pingat emas dalam acara gaya bebas lelaki 100m (51.73s), 400m (3:53.91s) dan 200m (1:49.67s).
Manakala Erika memenangi emas dalam acara 200m wanita rampaian perseorangan (2:20.80s) dan 200m kuak dada (2:36.21s).
Beliau menduduki tempat kedua dalam acara 50m kuak dada (32.47s) dan 100m (1:12.19s) yang juga masa terbaik peribadinya.
Selain menyumbang lima emas, sembilan atlet dari Sarawak turut meraih empat perak dan lima gangsa.
Perenang harapan, Angela Chieng yang baharu menyertai skuad negara pada awal tahun ini mengutip perak dan gangsa dalam acara 800m dan 400m gaya bebas wanita.
Sementara Vernon Lee menyumbang perak dalam acara 1,500m gaya bebas lelaki dengan catatan 16:05.31s.
Perenang kebangsaan itu turut menggondol gangsa dalam 200m dan 400m gaya bebas dengan catatan 1:52.62s dan 4:01.31s.
Gangsa lain disumbangkan Daniel Bego menerusi acara 100m gaya bebas (52.08s) dan 100m kuak kupu-kupu (55.53s).
Ketua Jurulatih, Hii Hieng Chiong sangat berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan skuad renang Sarawak sambil memuji kejayaan Welson dan Erika.
“Mereka bukan sahaja membantu Sarawak memenangi lima pingat emas, tetapi turut menempah tiket ke kejohanan dunia di Rusia nanti,” katanya.
Beliau juga memuji prestasi perenang lain kerana berjaya memenangi pingat sambil menambah kejohanan peringkat kebangsaan itu medan pendedahan terbaik bagi perenang baharu seperti Nee Gui Ping, Alex Tiong, Tan Tyng dan Leong Wan Ying.
“Perenang kita berjaya memperbaiki catatan peribadi dan lebih menarik semua mereka yang menyertai kejohanan ini, kecuali Daniel layak untuk bertanding pada SUKMA 2016,” katanya sambil berkata kejohanan itu merupakan persediaan skuad renang menghadapi SUKMA XVIII di Sarawak tahun depan.