Anda di sini

FAS kemuka rayuan kepada FAM daftar dua pemain baharu

Advertisement

KUCHING: Sarawak telah mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mendaftar dua lagi pemain tempatan baharu bagi menggenapkan seramai 26 pemain dalam skuad itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman berkata Sarawak masih mempunyai dua kuota pemain untuk diisi kerana mereka hanya mendaftar 24 pemain pada awal musim.

“Undang-undang membenarkan kita mendaftar seramai 26 pemain. Tetapi, kita hanya mendaftar seramai 24 pemain pada awal musim kerana beranggapan mungkin ada pemain tempatan yang berkualiti untuk diserap masuk.

“Malangnya, FAM memaklumkan kepada kita (Sarawak) tidak dibenarkan mendaftar pemain baharu kerana sudah mempunyai 24 pemain dalam skuad,” katanya di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau berharap FAM akan mempertimbang rayuan FAS untuk mendapatkan dua lagi pemain dalam tempoh jendela perpindahan pemain dibuka sejak dua hari lalu.

Bekas pemain sayap Sarawak, Azizan Saperi yang juga adik kepada Shahrol Saperi sebelum ini dikatakan akan diserap semula dalam skuad semasa jendela perpindahan pemain.

Setakat ini, aktiviti perpindahan pemain skuad Sarawak hanya melibatkan pengambilan Patrick Gerhardt bagi menggantikan Ronald Hikspoors yang mengalami kecederaan.

Pemain pertahanan dari Liberia itu diperkenalkan secara rasmi kelmarin.

Sudarsono juga berharap pemain Ngap Sayot tidak ditimpa kecederaan serius atau digantung perlawanan untuk tempoh panjang dalam mengharungi kancah Liga Super semakin sengit.

Menurutnya, dua musibah itu akan merencatkan peluang mereka untuk memburu kemenangan tambahan pula Sarawak tidak boleh terlalu mengharapkan pemain-pemain simpanan kerana mereka kurang pengalaman dalam saingan liga yang sangat mencabar meskipun mempunyai potensi tinggi.

Advertisement