Anda di sini

ASNB umum agihan pendapatan 7.75 sen seunit bagi ASB 2

Advertisement

KUCHING: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) semalam mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 7.75 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2).

Ia melibatkan agihan pendapatan tahunan sebanyak 7.50 sen seunit dan agihan pendapatan khas sebanyak 0.25 sen seunit untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015.

Ini merupakan agihan pendapatan sulung bagi ASB 2 sejak dilancarkan pada 2 April 2014 sebagai salah satu agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

Sambutan masyarakat Bumiputera terhadap ASB 2 cukup menggalakkan dengan sejumlah langganan 2.06 bilion unit ASB oleh 103, 546 pemegang unit.

Pencapaian ini adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan prestasi langganan satu tahun tabung-tabung unit amanah berharga tetap yang dilancarkan sebelum ini.

Ia juga menggambarkan kesedaran yang meningkat di kalangan Bumiputera tentang kepentingan melabur meskipun mereka berdepan cabaran dari sudut ekonomi dan peningkatan kos sara hidup.

Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji berkata Lembaga Pengarah ASNB bersetuju memperuntukkan pembayaran sebanyak RM92 juta sebagai pembayaran agihan pendapatan ASB 2.

“Tahun kewangan pertama ASB 2 dilalui dalam suasana pasaran saham domestik dan keadaan ekonomi global mengalami situasi yang begitu mencabar,” katanya dalam sidang media, semalam.

Hal ini berlaku berikutan dengan kejatuhan mendadak harga minyak mentah di pasaran, penyusutan nilai ringgit berbanding Dolar Amerika, pergolakan politik yang brlaku di Eropah Timur serta pertumbuhan ekonomi global yang tidak setara terutama di Asia dan negara-negara membangun.

Kata Ahmad lagi, pengurus pelaburan ASB 2 perlu mengimbangi di antara keperluan pengekalan modal tabung dan keupayaan tabung dalam menjana pengagihan pendapatan yang bersesuaian dengan persekitaran ekonomi dan pasaran semasa.

Sehingga 29 Mac 2015, jumlah pendapatan kasar ASB 2 adalah sebanyak RM130.6 juta.

Pendapatan daripada keuntungan jualan saham menyumbang sebanyak RM86 juta atau 65.8 peratus daripada keseluruhan pendapatan kasar.

Pendapatan dividen yang diterima daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM30 juta atau 23 peratus manakala selebihnya iaitu RM14.6 juta atau 11.2 peratus adalah daripada lain-lain pendapatan.

Pengiraan pengagihan pendapatan keseluruhan pada jumlah kadar 7.75 sen seunit ini adalah berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan tabung ASB 2.

Kadar pengagihan pendapatan tabung ASB 2 ini adalah kompetitif jika dibandingkan dengan instrumen-instrumen pelaburan lain yang sesuai dijadikan perbandingan serta suasana pelaburan semasa.

Semua urus niaga bagi ASB 2 di ibu pejabat ASNB, pejabat-pejabat ASNB dan ejen-ejen ASNB telah ditangguhkan pada 22 hingga 31 Mac 2015.

Penangguhan urus niaga ini adalah bertujuan untuk pengiraan pengagihan pendapatan bagi tahun 2015.

Urus niaga ASB 2 berjalan seperti biasa mulai kelmarin (1 April).

ASB 2 adalah sebuah ‘Tabung Aset Campuran Pendapatan’ yang dilancarkan pada 2 April 2014.

Objektif tabung ini ialah untuk menjana pulangan jangka panjang yang konsisten di samping memastikan pengekalan modal pemegang unit melalui pelaburan di dalam portfolio aset campuran.

Advertisement