Oleh Judan Bungap //
Beruang madu gempar laman sosial berjaya ditangkap pekerja ladang sawit Jalan Bintangor-Sibu
BINTANGOR: Beberapa pekerja sebuah ladang kelapa sawit, Jalan Bintangor-Sibu berjaya menangkap seekor beruang madu yang sebelum ini pernah disiarkan di muka hadapan akhbar Utusan Borneo.
Pengurus ladang tersebut memberitahu pekerjanya menjumpai haiwan tersebut pada kira-kira jam 7 pagi semalam.
“Ketika itu, beberapa pekerja sedang dalam perjalanan menuju ke tempat kerja sebelum terserempak haiwan tersebut.
“Pekerja memberanikan diri menangkap haiwan tersebut sebelum dibawa ke pejabat,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, sejurus haiwan tersebut dijumpai pihaknya menghubungi Sarawak Forestry Corporation (SFC) Sibu.
Sebelum ini, haiwan tersebut dijumpai sekumpulan pekerja ladang pada 30 Januari lalu.
SFC mengesahkan haiwan tersebut seekor beruang madu dan dipercayai mengalami penyakit selain sudah tua berikutan tidak berbulu.
Berita haiwan tersebut juga menjadi perbualan hangat dalam laman sosial Facebook dan YouTube.
Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) SFC turut berusaha menjejaki haiwan tersebut sebelum berjaya ditemui oleh pekerja ladang terbabit semalam.
Sementara itu, wakil SFC berkata, pihaknya akan membawa beruang madu itu ke Pusat Perlindungan Haiwan Liar Matang, Kuching.
“Di pusat tersebut, haiwan itu akan diperiksa untuk menentukan sebab mengapa berkeadaan lemah selain tidak mempunyai bulu,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini SWAT SFC beberapa kali cuba menjejaki beruang tersebut namun menemui jalan buntu.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada pihak ladang kerana bekerjasama menangkap beruang itu.
Justeru, beliau menasihati orang awam agar segera menghubungi SFC jika terjumpa haiwan liar terlindung.
“Kesalahan menyimpan, memelihara ataupun membunuh hidupan liar boleh dikenakan hukuman penjara setahun dan RM10,000,” katanya.
Youtube video: Hairless sun bear captured after months-long search
Berita berkiatan:
Beruang madu aneh masih dikuarantin di MWLC
Beruang madu kini dikuarantin untuk pemulihan