Anda di sini

94 kes pembalakan haram tumpas

Advertisement

Oleh Jessica Jawing //

Nilai rampasan RM10 juta, 55 suspek masih dalam siasatan: Adenan

MEMUASKAN:Adenan pada sidang media selepas menghadiri taklimat bersama 21 agensi penguatkuasaan semalam. Turut kelihatan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani (kanan).

KUCHING: Sarawak berjaya menumpaskan 94 kes membabitkan pembalakan haram dengan RM10 juta nilai pasaran kayu balak dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, jika dikira berdasarkan royalti nilai rampasan berkenaan dianggarkan RM1.4 juta.

“Tiga bulan pertama tahun ini kita berjaya menjalankan 94 kes tangkapan melibatkan 28,154 batang balak, iaitu 21,115 meter padu.

“Ia menyaksikan nilai pasaran RM10 juta tetapi dari segi royalti pula ia bernilai RM1.4 juta daripada tangkapan itu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat bersama 21 agensi penguatkuasaan kerajaan negeri dan persekutuan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Tambah Adenan, daripada itu juga 55 suspek masih dalam siasatan dan agensi penguatkuasaan berjaya merampas 12 buah lori, empat buah tongkang, tiga buah kapal, 11 buah jengkaut dan sebuah traktor.

“Saya berpuas hati dengan prestasi ini dan amat berterima kasih kepada agensi penguatkuasaan yang terlibat dalam operasi.

“Bagi kita ia satu lagi kejayaan kepada Sarawak dalam perkara ini, namun ia masih belum sepenuhnya kerana masih banyak lagi yang kita perlu lakukan,” tegasnya.

Beliau memberitahu, 55 suspek yang masih disiasat itu adalah warga tempatan dan warga asing yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pembalakan haram di seluruh negeri termasuk Kuching, Bintulu, Miri dan Sibu.

Mereka yang kini masih dalam siasatan itu serta sudah diambil kenyataan akan dibawa ke mahkamah.

Pada tahun lepas Sarawak secara keseluruhan berjaya mematahkan 210 kes dengan 82,000 meter padu dengan nilai pasaran kayu RM41 juta.

Advertisement